Impian final Jin Wei, Peng Soon-Goh Liu Ying musnah

Pemain beregu campuran negara Chan Peng Soon (kiri) dan Goh Liu Ying (kanan) beraksi ketika menentang lawannya dari Jepun dan juga pilihan pertama kejohanan Yuta Watanabe dan Arisa Higashino pada separuh akhir Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama

A
A
A

KEMARAAN pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei dan beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters tersekat di separuh akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Jin Wei, bintang muda berusia 19 tahun itu gagal mengawal perasaan apabila terpaksa akur dengan pengalaman dan ketangkasan bekas pemain nombor satu dunia, Ratchanok Intanon dari Thailand, dengan kekalahan straight set 16-21, 16-21.

Pada aksi final esok, Ratchanok, selaku pemain nombor lapan dunia, akan berdepan dengan pemain Sepanyol, Carolina Marin.

Carolina, yang menghuni ranking keenam dunia, melangkah ke final selepas mengalahkan pemain India, Saina Nehwal, 21-16, 21-13 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Pemain perseorangan negara Goh Jin Wei beraksi menentang Ratchanok Intanon dari Thailand pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil hari ini.- Foto Bernama

Dalam pada itu, Jin Wei, yang menduduki ranking ke-28 dunia, mengakui kecewa dengan kekalahannya itu kerana beliau tidak dapat mengulangi aksi kompetitif sepanjang kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai USD350,000 (RM2.24 juta) itu.

Sebelum ini, juara remaja dunia dua kali itu, mengalahkan pemain Jepun, Akane Yamaguchi (ranking kelima dunia) pada pusingan pertama dan pemain China, He Bingjiao, yang menghuni ranking ketujuh dunia, pada pusingan kedua.

“Hari ini bukan yang terbaik daripada saya. Saya kecewa permainan saya tidak bagus seperti semalam. Malah jurulatih menasihatkan saya supaya lebih sabar tetapi saya terlalu terburu-terburu dan hilang fokus,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut..

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, beliau akan memperbaiki kelemahan dan berusaha memperoleh keputusan yang lebih baik pada kejohanan Indonesia Masters di Jakarta, bermula Selasa ini.

Sementara itu pasangan Peng Soon-Liu Ying turut mengalami kekalahan dalam pertarungan sengit menentang beregu nombor tiga dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun.

Beregu pilihan utama itu menewaskan Peng Soon-Liu Ying 21-15, 7-21, 21-14 dan akan menentang pasangan Thailand, Dechapol-Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, di pentas final esok.

Beregu pilihan kedua dari Thailand itu menempah slot final apabila mencatatkan kemenangan straight set 21-19, 21-14 menentang pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sementara itu, Liu Ying mengakui mereka hilang fokus, strategi tidak menjadi dan sering melakukan kesilapan. - Bernama