Lembah Lenggong dicadang Geopark Kebangsaan kedua di Perak

Shamsul Anuar (tengah) bersama Nolee Ashilin dan Ahmad Saidi pada sesi taklimat cadangan pembangunan Geopark Lenggong di Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong hari ini. Foto: Bernama
Shamsul Anuar (tengah) bersama Nolee Ashilin dan Ahmad Saidi pada sesi taklimat cadangan pembangunan Geopark Lenggong di Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

LENGGONG - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bercadang mewujudkan tapak geologi Geopark Kebangsaan kedua di Perak iaitu di Lembah Lenggong membabitkan kawasan seluas 1,765.71 kilometer persegi.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkara itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi tempoh tahun 2021 hingga 2025.

Menurutnya, perancangan pembangunan di kawasan itu akan dilakukan secara teliti mengambil kira pengiktirafan tapak warisan dunia yang diterima daripada pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Pembangunan di sini agak berbeza dengan kawasan geopark lain kerana mendapat pengiktirafan UNESCO, jadi kita akan menggabungkan pembangunannya.

"Bagaimanapun, identiti dan nilai sebagai tapak warisan dunia ini harus dikekalkan dan menjadi elemen penting untuk mengukuhkan geopark ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Shamsul Anuar (kanan) berbual dengan Exco Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud (kiri) ketika mengadakan lawatan kerja dan mendengar taklimat mengenai cadangan Georpark Kebangsaan di Lenggong di Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong di sini hari ini.Foto: Bernama
Shamsul Anuar (kanan) berbual dengan Exco Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud (kiri) ketika mengadakan lawatan kerja dan mendengar taklimat mengenai cadangan Georpark Kebangsaan di Lenggong di Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong di sini hari ini.Foto: Bernama

Pada 2018 lalu, Lembah Kinta dimasyhurkan sebagai tapak geologi Geopark Kebangsaan pertama di Perak membabitkan keluasan 1,952 kilometer persegi.

Shamsul Anuar berkata, Lembah Lenggong mempunyai elemen dan ciri tersendiri seperti kedudukan gua, tasik dan rekreasi yang boleh membantu melonjakkan sektor ekopelancongan dan sosio ekonomi kawasan setempat serta negeri.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan mencari pendekatan baharu dengan mengkaji geopark dalam negara ini dan kelebihan serta kekurangan akan diperhalusi supaya pembangunan di sini mempunyai hala tuju lebih jelas supaya dapat dijadikan 'role model' kepada pembangunan geopark lain," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, penjenamaan semula geopark penting bagi memastikan pengiktirafan antarabangsa.

"Geopark yang ada di negara ini memang sangat membantu dan mendapat sokongan pelbagai pihak terutama sektor pelancongan apabila turut menerima pelancong dari seluruh dunia.

Terdahulu, Shamsul Anuar mengadakan lawatan kerja dan taklimat cadangan pembangunan Geopark Lenggong di Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Ahmad Saidi Mohamad Daud.