Burung Botak Upeh membiak di Zoo Taiping

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) menyaksikan penetasan anak-anak Burung Botak Upeh (Milky Stork) di dalam dan di luar kurungan.
Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) menyaksikan penetasan anak-anak Burung Botak Upeh (Milky Stork) di dalam dan di luar kurungan.
A
A
A

TAIPING- Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) menyaksikan penetasan anak-anak Burung Botak Upeh (Milky Stork) di dalam dan di luar kurungan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, sebanyak 36 ekor Burung Botak Upeh dalam kurungan telah membuat 12 sarang di tempat pameran Hutan Tebing Sungai dan empat daripadanya telah menunjukkan anak burung yang sudah menetas.

"Bagaimanapun, bilangan sebenar anak burung masih belum dapat dikenal pasti," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, sebanyak 20 ekor Burung Botak Upeh yang dilepaskan bebas di luar kurungan di kawasan zoo pula telah membuat tujuh sarang di atas pokok tinggi dalam kawasan ZTNS dan dua sarang itu telah menunjukkan anak yang telah menetas.

"Sarang Burung Botak Upeh dalam keadaan baik dan sentiasa dipantau dengan rapi oleh kakitangan zoo dari semasa ke semasa," katanya.

Khairul Amir berkata, program konservasi Burung Botak Upeh di ZTNS telah bermula sejak tahun 2005 dengan dua ekor stok asal Burung Botak Upeh yang diterima dari Jurong Bird Park, Singapura dan 10 ekor lagi dari Zoo Negara, di Ulu Kelang, Selangor pada 2009.

Sementara itu, Pengarah ZTNS Dr Kevin Lazarus berkata, pihaknya telah melakukan dua program pelepasan burung itu, iaitu 10 ekor pada tahun 2016 dan empat ekor lagi pada tahun 2017.

Beliau berkata, daripada 14 ekor burung itu sebanyak enam ekor anak burung telah berjaya dibiak pada tahun 2018 dan 2019.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, program berkenaan merupakan satu usaha projek konservasi dan kajian spesies yang dianggap terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).

Kevin berkata, di negeri Perak, Burung Botak Upeh atau nama saintifiknya ‘Mycteria cinerea’ banyak didapati di Kuala Gula namun spesies itu tidak lagi kelihatan di kawasan berkenaan susulan kawasan hutan paya bakau yang semakin menyusut.

"Burung yang bertelur antara Mac hingga Julai ini adalah jenis yang sensitif dan sukar membiak jika habitatnya terganggu sama ada berpunca daripada aktiviti manusia atau pembangunan.

"ZTNS akan sentiasa berusaha dalam aktiviti pembiakan haiwan terutama spesies haiwan tempatan yang kini diancam kepupusan dan sentiasa membantu negara dalam memainkan peranan dalam usaha pembiakan, pemuliharaan dan pembelajaran mengenai hidupan liar di negara ini," katanya.

ZTNS telah ditutup kepada orang awam sejak pelaksanaan PKP mulai 18 Mac lepas bagaimanapun kerja-kerja menjaga kebajikan haiwan masih diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan dan pemantauan terhadap haiwan-haiwan dilakukan dengan lebih kerap. -Bernama