Kumpulan Tailong didalangi Rohingya tumpas

Beng Yeow (tengah) menunjukkan barang-barang yang dirampas daripada kumpulan Tailong didalangi etnik Rohingya, pada sidang akhbar di IPD Kulai, Kulai, Johor, hari ini.
Beng Yeow (tengah) menunjukkan barang-barang yang dirampas daripada kumpulan Tailong didalangi etnik Rohingya, pada sidang akhbar di IPD Kulai, Kulai, Johor, hari ini.
A
A
A

KULAI - Polis menumpaskan kumpulan Tailong yang aktif melakukan pecah rumah sekitar daerah ini selepas tertangkapnya tiga etnik Rohingya dalam enam serbuan berasingan di Kulai dan Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow berkata, mereka ditahan oleh sepasukan anggota Balai Polis Kulai dalam Ops Lejang/Pintu dari jam 8.15 malam semalam hingga 2 pagi ini.

"Suspek merupakan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 30 tahun. Modus operandi mereka ini biasanya menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni sebelum datang dengan kereta Perodua Myvi. Mereka kemudian memanjat tembok atau pagar sebelum mengumpil pintu jeriji dan masuk dalam rumah.

"Kita berjaya berkas mereka selepas seorang wanita membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada 16 Mei lalu yang memaklumkan rumahnya di Bandar Putra di sini dimasuki pencuri," katanya dalam sidang akhbar di IPD Kulai di sini hari ini.

Katanya, wanita berkenaan mendapati beberapa barangan berharga dan wang tunai lesap dengan kerugian dianggarkan RM7,000.

Susulan itu katanya, polis menahan semua suspek berkenaan dan merampas beberapa telefon bimbit, barang kemas, komputer riba, pelbagai jam tangan, beg tangan serta sebuah kereta Perodua MyVi dan sebuah motosikal Yamaha 135 LC.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah kira-kira RM100,000 dan siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam 15 kes pecah rumah di sekitar kawasan Bandar Putra.

Siasatan lanjut katanya, akan dijalankan bagi mengesan tiga lagi rakan mereka yang masih bebas dikenali sebagai Hassan, Rahman dan Baiya berusia dalam lingkungan 20-an.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya geng terbabit sudah lama menetap di negara ini kerana mereka fasih berbahasa Melayu," katanya.

Beliau tidak menolak suspek berkenaan merupakan saki-baki kumpulan pecah rumah didalangi etnik Rohingya yang ditangkap pada 28 April lalu setelah aktif melakukan rompakan di daerah ini sejak hujung tahun lalu.

Beng Yeow berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan.