Kerana mi kuning, melayang RM1,000

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Teluk Intan memeriksa barangan di Pasar Awam Teluk Intan menerusi pemeriksaan khas yang dijalankan agensi terbabit.- FOTO: KPDNHEP Teluk Intan
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Teluk Intan memeriksa barangan di Pasar Awam Teluk Intan menerusi pemeriksaan khas yang dijalankan agensi terbabit.- FOTO: KPDNHEP Teluk Intan
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang peniaga dikenakan kompaun RM1,000 gara-gara tidak meletakkan tanda harga bagi produk mi kuning yang dijual di Pasar Awam Teluk Intan, hari ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Teluk Intan, Mohd Badrul Hisham Ahmad Alias berkata, tindakan itu dikenakan hasil pemeriksaan khas pasukan penguat kuasa KPDNHEP Teluk Intan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Teluk Intan dan Langkap.

Menurutnya, hasil pemeriksaan itu juga turut mendapati seorang lagi peniaga lain tidak meletakkan tanda harga bagi sayur yang dijual dan dikenakan denda RM1,000.

"Sepanjang tempoh PKP dan SHMMP, sebanyak 14 kompaun telah dikeluarkan dengan nilai RM9,600 bagi pelbagai kesalahan. Sepanjang tempoh ini juga, KPDNHEP Teluk Intan telah menjalankan pemeriksaan ke atas 1,013 premis bandar dan luar bandar.

"KPDNHEP Teluk Intan telah mempertingkatkan pemeriksaan ke atas premis perniagaan di sekitar Hilir Perak dan Bagan Datuk bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang serta memastikan hak pengguna dilindungi," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Badrul Hisham berkata, pihaknya mengingatkan peniaga supaya meletakkan tanda harga pada setiap barangan yang dijual dan tidak menaikkan harga melebihi harga maksimum bagi barang-barang terkawal.

Menurutnya, orang ramai pula boleh membuat sebarang aduan berkaitan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut melalui saluran yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan: