Bersalin dalam tandas asrama

polis
polis
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang operator kilang warga Indonesia melahirkan bayi di dalam tandas asrama kilang di Taman Belimbing di sini Ahad lalu, selepas menelan pil bagi menggugurkan kandungan yang diberikan oleh teman lelakinya.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, wanita berusia 21 tahun berkenaan dikatakan mengalami sakit perut yang teramat sebelum dia melahirkan bayi perempuan cukup sifat dianggarkan berusia 18 minggu seberat 700 gram.

Difahamkan rakannya yang menyedari kejadian itu menghubungi pihak hospital namun ketika pasukan perubatan tiba di lokasi kejadian mendapati bayi berkenaan sudah tidak bernyawa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, siasatan mendapati wanita terbabit menyedari yang dia hamil pada April lalu selepas tidak datang haid sejak awal tahun ini.

Menurutnya, wanita berkenaan mengakui bayi dilahirkan itu hasil hubungannya dengan teman lelaki yang juga warga Indonesia dan kini telah melarikan diri.

"Wanita itu memaklumkan yang dia telah menelan pil untuk gugurkan kandungan yang diberikan teman lelakinya pada Sabtu lalu.

"Selepas hampir 24 jam dia mengambil pil berkenaan, wanita itu mengalami sakit perut dan melahirkan bayi perempuan di dalam bilik air asrama," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Artikel Berkaitan: