F1 Vietnam mungkin diadakan November

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

GRAND Prix Formula Satu (F1) Vietnam mungkin diadakan pada akhir tahun ini tanpa kehadiran penonton antarabangsa, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Pihak penganjur sedang berusaha untuk memastikan ia dapat dilangsungkan. Perlumbaan yang dijadual pada April itu terpaksa dibatalkan ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Rancangan menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij pada November itu akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Rakyat Hanoi dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), andai semua syarat keselamatan berjaya dipenuhi.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif F1, Chase Carey mengadakan rundingan mengenai rancangan menganjurkan perlumbaan di Austria, England, Sepanyol, Jerman dan Belanda.

Perlumbaan F1 Austria secara prinsipnya sudah dipersetujui dianjurkan pada 5 Julai, dan menunggu persetujuan pihak kerajaan.

Di United Kingdom, perlumbaan juga boleh diteruskan, jika semua anggota pasukan dikuarantin selama 14 hari sebelum acara berlangsung.

Penganjur berdepan kerugian sebanyak AS$35 juta, jika perlumbaan di Vietnam dilangsungkan tanpa kehadiran penonton, berikutan itu pihak penganjur memutuskan untuk membenarkan kehadiran peminat tempatan.

Penyokong antarabangsa yang sebelum ini sudah membuat tempahan tiket untuk perlumbaan pada April akan diberi bayaran balik sepenuhnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: