Tiada tukang masak negara jiran bolos sempadan Kelantan

Hasanuddin Hassan
Hasanuddin Hassan
A
A
A

KOTA BHARU - Tiada penduduk dari negara jiran mahupun warga asing yang bekerja di negeri ini terutama tukang masak melakukan cubaan curi masuk ke sini menerusi sempadan negara atau laluan tikus.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya mengambil maklum kebenaran kerajaan Kelantan membenarkan kedai makan beroperasi dan pelanggan boleh makan di kedai bermula hari raya keempat.

Menurutnya, meskipun begitu berdasarkan maklumat yang diterima tidak ada tukang masak mahupun pekerja kedai makan dari negara jiran cuba merentas sempadan secara haram sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Jika kami mendapati ada di antara mereka yang datang ke sini secara haram dan bekerja, kami tidak teragak-agak untuk buat tangkapan,” katanya kepada media ditemui di pejabatnya semalam.

Hasanuddin juga memberitahu, sepanjang pelaksanaan PKPB juga pihaknya sentiasa memastikan kawalan di pintu masuk negara dan juga laluan sepanjang sempadan dipertingkatkan.

“Kawalan sempadan memang ketat. Kita gandakan kekuatan anggota pada kadar luar biasa untuk mengawal di setiap inci sempadan.

“Pun begitu, kita letak (pegawai) di sini dia bolos di sana. Itu saya tidak nafikan, tetapi setakat ini Alhamdulillah maklumat kita terima semua ‘bersih’ di sempadan,” katanya.

Berdasarkan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Negeri 19 Mei lalu kerajaan memutuskan perniagaan boleh beroperasi dari 7 pagi hingga 10 malam berbanding 3 hingga 6.30 petang sebelum ini dan pelanggan dibenarkan makan di kedai dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Hasanuddin juga memberitahu sepanjang PKPB, polis sentiasa mengadakan rondaan dan juga pemeriksaan di kediaman untuk mengelak orang ramai berkumpul beramai-ramai dan mengikut SOP.

“Ini termasuk juga melakukan pemantauan di kediaman dan juga kontak kepada kes terbaharu koronavirus (Covid-19) dari Kuala Krai baru-baru ini,” katanya.

Hasanuddin berkata, berdasarkan rekod sehingga Rabu sebanyak 63 orang ditahan manakala 10 lagi dikenakan kompaun gagal patuhi PKP serta terlibat dengan pelbagai kejadian jenayah.

“Setakat ini saya melihat keadaan di Kelantan masih terkawal dan rakyat mengikut SOP ditetapkan sepanjang PKPB,” katanya.