Liverpool pasukan hebat

Giggs.Foto:www.ibtime.com.uk
Giggs.Foto:www.ibtime.com.uk
A
A
A

Bekas bintang Manchester United, Ryan Giggs mengakui Liverpool sebagai sebuah pasukan yang hebat dan berharap kehebatan berkenaan dapat dijadikan sumber inspirasi skuad kebangsaan Wales.

Giggs yang kini pengendali skuad Wales berkata di sebalik sejarah kegemilangan United, dia tidak mampu untuk akur dengan kehebatan dan kecemerlangan skuad The Reds itu musim ini.

Menurut Giggs, beberapa perkara penting daripada kejayaan Liverpool boleh dimanfaatkan oleh skuad The Dragons itu untuk masa hadapan.

"Saya rasa kita semua telah melihat Liverpool sebagai pasukan yang hebat di sepanjang musim ini; mereka dilatih oleh jurulatih yang hebat, Jurgen Klopp dan walaupun sukar untuk saya katakannya, mereka (Liverpool) sememangnya hebat.

“Mereka kebiasaannya akan terus (beraksi) dan walau apa pun caranya, mereka pasti dan berhak untuk memenangi trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) kali ini.

“Mereka juga sebenarnya telah melalui dua musim yang hebat di EPL apabila musim lalu mereka juga turut ‘menghimpit’ Manchester City di sepanjang musim.

“Ini menjadikan mereka pasukan yang hebat untuk dilihat dan saya lihat ada beberapa perkara yang boleh dimanfaatkan untuk skuad kebangsaan Wales,” katanya.

Setelah saingan EPL ditangguhkan, sejak Mac lalu berikutan pandemik Covid-19, Liverpool dilihat bakal merangkul trofi EPL apabila gah menerajui takhta liga dengan kelebihan 25 mata berbanding pencabar terdekat Manchester City di tangga kedua.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod Liverpool kini mengumpul 82 mata hasil 27 kemenangan seri sekali dan tewas sekali daripada 29 perlawanan setakat ini sebelum saingan EPL dijadualkan bersambung mulai 17 Jun depan.

Sementara itu Giggs turut berharap agar skuad The Red Devils dapat mencontohi Liverpool untuk sekurang-kurangnya menyamai kejayaan yang dicapai skuad The Reds itu.

Katanya, dengan pemain-pemain muda berbakat besar, United seharusnya boleh berjaya seperti Liverpool.

“Harapan saya agar United dapat merapatkan jurang sedia ada dengan Liverpool dan mencontohi mereka kerana kecemerlangan yang ditunjukkan musim ini,” katanya.