Warga asing ditahan semasa PKP tiada dokumen sah

Warga asing yang ditahan dalam serbuan di Pasar Borong Kuala Lumpur.
Warga asing yang ditahan dalam serbuan di Pasar Borong Kuala Lumpur.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Semua warga asing yang ditahan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya warga asing masuk ke dalam negara secara sah mereka pasti mempunyai dokumen perjalanan diri atau i-kad sebagai pengenalan diri masing-masing.

"Yang kena tangkap semua tiada dokumen. Memang majikan sepatutnya tidak boleh pegang dokumen (warga asing) tetapi majikan ada mengeluarkan i-kad (untuk pekerja).

"I-kad adalah kad pengganti pengenalan diri dan jika ditahan pihak berkuasa seperti Imigresen mereka boleh tunjukkan i-kad kepada pihak berkuasa. Sudah tentu sahaja mereka tidak boleh dianggap sebagai pendatang tanpa izin," katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.

Beliau mengakui sesetengah majikan bertindak menyimpan dokumen perjalanan warga asing kerana bimbang pekerja mereka melarikan diri dan sebagainya.

Dalam pada itu, menurutnya, warga asing atau pendatang asing tanpa izin yang sudah menjalani ujian saringan Covid-19 tidak perlu diberikan sebarang gelang atau ‘tanda khas’, sebaliknya hanya diberikan surat doktor.

“Sebagai contoh, pendatang asing tanpa izin apabila disaring Covid-19, mereka akan terus masuk depot atau tempat khas yang disediakan kerajaan serta tidak perlu memakai sebarang gelang maka tidak perlu risau.

“Untuk orang awam atau warga asing di Semenanjung Malaysia mereka hanya memerlukan surat daripada doktor sebagai bukti yang mereka negatif Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, oleh kerana itu, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak mewajibkan mereka yang negatif Covid-19 untuk memakai gelang kerana bukti surat daripada doktor sudah memadai.

Sementara itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan 149 sekatan jalan raya/rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 252,799 kenderaan semalam.

“Selain itu, sebanyak 434 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung diarahkan berpatah balik oleh petugas keselamatan berbanding 842 pada hari sebelumnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi ialah Kedah (87), Negeri Sembilan (83) dan Melaka (59). - Bernama