BNM: Rizab rasmi Malaysia AS$102.484 bilion pada akhir April

Bank Negara Malaysia. Foto: 123RF
Bank Negara Malaysia. Foto: 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rizab antarabangsa Malaysia tetap boleh guna pada akhir April 2020, dengan aset rizab rasmi berjumlah AS$102.484 bilion.

Dalam kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, aset mata wang asing lain berjumlah AS$1,511.9 juta.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, yang termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan pembayaran balik mata wang asing apabila matang daripada Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara, berjumlah AS$7,775.1 juta,” kata bank pusat itu.

Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$12,707.0 juta, manakala jumlah kedudukan hadapan panjang berjumlah AS$1,480.0 juta pada akhir April 2020, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang, kata BNM.

BNM berkata demikian dalam nota penerangan “Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada Akhir Bulan April 2020”, mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang dikeluarkan hari ini.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, BNM berkata, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah sehingga AS$2,374.6 juta bagi tempoh 12 bulan akan datang.

Bank pusat berkata satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$277.7 juta.

“Tiada sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

Artikel Berkaitan:

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” kata bank pusat.- Bernama