Posmen didenda RM1,500 buat laporan polis palsu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang posmen didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana membuat laporan polis palsu pada 20 Mei lalu.

Majistret, Sri Pracha Nanthini Balabedha menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhamad Syazwan Juhari, 22, selepas lelaki itu mengaku memberi maklumat palsu secara bertulis.

Lelaki itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini pada 4.30 petang, 20 Mei lalu.

Laporan itu menyatakan kononnya dia tidak terlibat dalam kes kutipan derma untuk petugas penghantaran Pos Malaysia yang tidak mendapat bonus setelah ia tular dalam media sosial sejak 17 Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tipu kutipan derma: Tiga individu ditahan termasuk posmen

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika dia gagal membayar denda, namun dia membayar denda itu.

Tertuduh yang bekerja di Pos Malaysia cawangan Butterworth itu didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mendakwa menceritakan masalah posmen tidak mendapat bonus kepada abang dan kakak angkatnya sebelum mereka memuat naik cerita berkenaan dengan menggunakan nama Amirul Megat menerusi satu laman di Facebook sehingga ia menjadi tular dan turut menyiarkan nombor akaun bank bagi memohon derma serta bantuan daripada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh tidak mengaku gambar yang tular di laman itu adalah dirinya dan telah mereka cerita bahawa individu tersebut adalah Amirul Megat yang juga posmen tetapi tidak pernah kenal dan berjumpa dengan Amirul Megat.

Lelaki itu turut memaklumkan akaun bank miliknya hanya digunakan untuk menerima sumbangan sahaja.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama