AIM sasar tambahan 60,000 ahli

Amanah Ikhtiar Malaysia
Amanah Ikhtiar Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), badan yang membantu usahawan dari segi pinjaman modal, menyasarkan tambahan 60,000 ahli menjelang akhir 2019, kata Pengerusinya, Datuk Junaidah Kiting.

Beliau berkata, jumlah ahli AIM kini mencecah 340,000 orang dan bilangan ahli usahawan baharu akan dipertingkatkan.

“Kakitangan kami amat agresif di lapangan dan telah pergi ke seluruh negara untuk mencari kelompok (usahawan),” katanya kepada pemberita pada majlis Dialog Bersama Usahawan Wanita Malaysia – Wanita Pemacu Ekonomi Negara di sini, hari ini.

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Datuk Hazimah Zainuddin pada sidang media sama berkata, badan tersebut sedang mengenal pasti usahawan yang mempunyai potensi antarabangsa kerana berpendapat mereka tidak harus bertumpu di Malaysia sahaja tetapi perlu berkembang.

“Mereka jangan hadkan hanya kepada (pasaran) domestik dan berharap kepada kerajaan, tetapi perlu mampu untuk membuat perniagaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, golongan usahawan juga boleh mengikuti kursus untuk menaikkan lagi taraf perniagaan.

AIM ditubuhkan pada 1987 untuk mengurangkan kemiskinan di Malaysia melalui pembiayaan kecil-kecilan atau kredit mikro yang digunakan untuk membiayai aktiviti ekonomi yang boleh menambah pendapatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: