Pelakon tak mengaku salah pikat isteri orang

Muhammad Shah Radhi dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas dakwaan memikat isteri seorang ahli perniagaan.
Muhammad Shah Radhi dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas dakwaan memikat isteri seorang ahli perniagaan.
A
A
A

AMPANG - Pelakon baharu yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa memikat isteri seorang ahli perniagaan beberapa hari lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Muhammad Shah Radhi Hazvee membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Mengikut pertuduhan, pelakon berusia 24 tahun itu didakwa memikat wanita dipercayai berusia 36 tahun, supaya melakukan persetubuhan.

Dia yang pernah membintangi beberapa drama dan filem didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Sering Ukay, Hulu Langat pada jam 8 malam, 25 Mei lalu.

Muhammad Shah Radhi yang memakai baju T berbelang kelabu dan seluar khakis didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Shah Radhi, Harcharanjit Singh merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum sebanyak RM2,000.

“Dia merupakan seorang artis, banyak liputan dibuat hari ini, maka tiada sebab dia mahu melarikan diri,” katanya.

Farah Nasihah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Semalam, media melaporkan seorang pelakon berusia 24 tahun ditahan polis selepas didakwa melarikan isteri kepada seorang lelaki berumur 38 tahun.

Bagaimanapun, pengurus pelakon itu, Leana Sharif menafikan dakwaan itu dan beliau dikatakan akan memberi penjelasan selepas pendakwaan di mahkamah selesai.