Video menari aibkan institusi kehakiman, perundangan

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Pas membidas tindakan menteri dan beberapa individu penting dalam institusi kehakiman dan perundangan negara berdansa dalam satu majlis makan malam seperti yang tular dalam sebuah video.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, tindakan mereka di khalayak awam itu telah mengaibkan institusi kehakiman dan menjatuhkan wibawa perundangan negara.

Katanya, sikap tidak profesional mereka bersama beberapa orang aktivis guaman kontroversi telah mengundang pelbagai kritikan negatif dalam kalangan rakyat.

"Bukankah ia boleh menjatuhkan penghormatan rakyat ke atas mereka?

[ARTIKEL BERKAITAN: Video tarian hakim, menteri cetus kebimbangan badan kehakiman]

"Tidakkah ia boleh mencetuskan konflik kepentingan dengan pihak-pihak yang berkepentingan?," soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinet menilai semula kedudukan mereka yang terlibat dalam posisi penting sistem kehakiman dan perundangan.

"Malah (mereka) wajar digugurkan jawatan supaya wibawa institusi ini dapat terus diperteguhkan dan dihormati oleh rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, tular sebuah video memaparkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Peguam Negara, Tommy Thomas; Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan peguam kontroversi, Siti Zabedah Kassim atau Siti Kassim menari mengikut rentak lagu pada Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019: Keadilan Menuju Kehadapan.

Bagaimanapun, Vui Keong menjelaskan, mereka dijemput penganjur untuk menari di atas pentas melibatkan satu lagu sahaja.

Secara kebetulan, hari jadi beliau yang jatuh semalam diumumkan penganjur dalam majlis itu tanpa pengetahuannya, sekali gus mereka yang hadir turut meraikan hari jadinya.