Tender projek LSS terbesar dibuka

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media berkenaan pelaksanaan projek rangsangan ekonomi di Pejabat Kawasan Suruhanjaya Tenaga Perak hari ini. - Foto Bernama
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media berkenaan pelaksanaan projek rangsangan ekonomi di Pejabat Kawasan Suruhanjaya Tenaga Perak hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menawarkan kuota solar sebanyak 1,000 mengawatt (MW) melalui proses bidaan kompetitif dibawa projek solar berskala besar oleh industri elektrik Malaysia bagi menarik pelaburan tenaga boleh diperbaharu (LSS@MEnTARI) bernilai RM4 bilion bermula 31 Mei ini.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia merupakan kuota terbesar pernah ditawarkan di bawah program solar berskala besar (LSS) sebagai langkah kerajaan memulih dan merangsang ekonomi negara berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Sebelum ini, penawaran kuota bagi projek LSS1 hingga LSS3 dibuat sekitar 370 hingga 500MW sahaja, sebab itu kali ini kita katakan terbesar kerana melibatkan 1,000MW.

"Melalui pelaksanaan program ini, kementerian menjangkakan pelaburan sebanyak RM4 bilion dengan pembukaan 12,000 peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan," katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Suruhanjaya Tenaga (ST) Perak di sini hari ini.

Menurutnya, tawaran itu hanya dibuka kepada syarikat 100 peratus milik tempatan dan bagi syarikat tersenarai di Bursa Saham Malaysia hendaklah memiliki sekurang-kurangnya 75 peratus pegangan saham tempatan.

"Ini bagi memastikan pelaburan dalam bidang tenaga boleh baharu (TBB) ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan kesan limpahan serta-merta kepada ekonomi negara.

"Kita harapkan syarikat-syarikat terlibat akan memberi keutamaan kepada rakyat tempatan dalam penyediaan peluang pekerjaan, barulah hasrat untuk merancakkan semula ekonomi negara dengan cepat dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata, kapasiti maksimum yang boleh dibida oleh setiap pemaju telah diturunkan kepada 50MW berbanding 100MW dan setiap syarikat hanya boleh mengemukakan tidak lebih tiga bidaan sahaja.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tempoh serahan dokumen bidaan juga dipendekkan kepada tiga bulan berbanding enam bulan bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dimulakan sebelum penghujung tahun ini.

"Kerajaan telah menetapkan dua pakej bagi bidaan itu iaitu masing-masing julat kapasiti antara 10 hingga kurang daripada 30MW dan antara 30 hingga 50MW.

"Penetapan pakej ini bagi membuka peluang lebih banyak syarikat tempatan sama ada kecil atau besar dapat bersaing dengan adil mengikut kemampuan mereka," katanya.

Loji-loji jana kuasa solar di bawah LSS@MEnTARI ini dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya 31 Disember 2023.