Saman Kelantan: Cara terakhir tuntut tanah adat

Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah
A
A
A

GUA MUSANG - Tindakan Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Peguam Negara memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kota Bharu Isnin lalu, berhubung tuntutan tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor di sini dianggap sebagai tindakan terakhir bagi penyelesaian itu.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ia berikutan kerajaan Kelantan tidak pernah memberi perhatian serius terhadap tuntutan kaum itu malah membenarkan sebarang aktiviti yang memberi keuntungan kepada pihak lain.

“Masyarakat Orang Asli Temiar mempunyai hak ke atas tanah adat dan sudah lama tinggal di kawasan itu sejak turun-temurun sehingga tindakan kerajaan negeri membenarkan aktiviti pertanian berleluasa serta menjejaskan kehidupan masyarakat di situ.

“Saya tidak begitu mahir berhubung perundangan, tetapi pendapat saya barangkali dengan cara itu boleh menyelesaikan masalah tuntutan tanah adat Orang Asli di Pos Simpor,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bukit Chekati di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan pemimpin peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi mendengar keluhan mereka berhubung beberapa masalah yang dihadapi selepas PRU14 lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya sudah lama mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah berkenaan sehingga ia menarik perhatian Kerajaan Persekutuan.

“Kalau kita hanya menimbangkan kegunaan tanah itu hanya kepada pihak lain sudah tentu ia menimbulkan kemarahan pihak yang berdepan banyak kerugian.

“Kita kena hormat hak kaum itu dan saya melihat tindakan berkenaan satu jalan baik untuk penyelesaian tanah adat Orang Asli yang sekian lama mereka perjuangkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Jabatan Peguam Negara memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi pihak masyarakat Orang Asli Temiar terhadap Kerajaan Kelantan.

Kes saman yang difailkan Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan Kelantan dan tujuh lagi itu untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berhampiran Gua Musang dan sebutannya pada 22 Januari ini. - Bernama