X

Kindly register in order to view this article
!

Pindaan Akta 446 tambah beban majikan

Datuk Shamsuddin Bardan
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan menguatkuasakan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) berkuat kuasa pada 1 Jun ini memberi bebanan kewangan yang besar kepada majikan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, akta yang bakal dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 September depan itu tidak wajar dilaksanakan di Malaysia.

Menurutnya, sebahagian besar majikan kini berdepan kekangan kewangan dan tidak mampu untuk menampung peningkatan kos perniagaan ketika negara berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Keputusan kerajaan ini dilihat seolah-olah tidak sensitif dan tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi majikan, khususnya sektor swasta akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Walaupun kerajaan memberi pakej rangsangan ekonomi untuk meringankan beban kewangan majikan sektor swasta, namun pada masa yang sama dilihat menambah beban kewangan majikan dengan pelaksanaan pindaan berkaitan tempat tinggal pekerja,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan akan menguatkuasakan pindaan Akta 446 berkuat kuasa 1 Jun ini bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing melibatkan semua sektor.

Bagaimanapun, penguatkuasaan Akta 446 (Pindaan) 2019 itu yang terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 September 2020 untuk memberi ruang kepada majikan membuat persediaan sewajarnya.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, masalah jangkitan Covid-19 sering dikaitkan dengan pekerja asing, namun hakikatnya pekerja asing yang sah sebenarnya tidak mempunyai rekod jangkitan Covid-19 yang tinggi kerana majikan sentiasa mengambil berat dan memantau kesihatan pekerja mereka.

“Kerajaan perlu beri lebih tumpuan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana kesihatan mereka tidak dipantau sehingga menyebabkan risiko merebaknya Covid-19 dalam kalangan PATI yang tinggi.

“Sepatutnya kerajaan ambil langkah bimbing majikan dan pekerja tentang bagaimana untuk mencegah penularan Covid-19 dengan lebih berkesan di kediaman pekerja,” katanya yang menganggarkan kira-kira 2.23 juta pekerja asing yang sah kini bekerja di Malaysia dengan sebahagian besar dalam sektor elektronik.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus