Bisnes dalam talian bantu nelayan, petani

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

Perniagaan dalam talian bukan sahaja membantu meneruskan kelangsungan operasi peniaga malah turut membantu nelayan dan petani meneruskan penjualan hasil mereka walaupun dalam keadaan sukar susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Buat julung kalinya dalam sejarah, nelayan dan petani mula menjual ikan, daging dan sayur secara dalam talian. Hasil tuaian mereka itu boleh diperoleh dengan banyaknya di platform e-dagang atau media sosial.

Antara platform e-dagang yang menjual barang basah ialah Shopee dan agrobazaar.com. Malah, pasar raya besar seperti Tesco dan Mydin juga tidak ketinggalan menjual stok barang basah mereka yang diambil daripada petani dan nelayan tempatan untuk dijual secara dalam talian.

Selain itu, terdapat lagi beberapa platform e-dagang yang menawarkan perkhidmatan sama seperti ganufresh.com, pasarman.com, happyfresh, mygrocer dan sebagainya.

Inisiatif pemain platform e-dagang itu bukan sahaja membantu nelayan dan petani tempatan untuk terus menjana pendapatan pada waktu sukar malah turut menjamin bekalan makanan kepada rakyat Malaysia agar sentiasa mencukupi.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho dilaporkan berkata, pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu telah membuka potensi baharu dalam e-dagang apabila barang segar dan produk sejuk beku turut dijual di dalam platform berkenaan.

Katanya, pada April lalu kira-kira 1,000 penjual barang basah seperti nelayan dan petani mula menjual di Shopee sedangkan pada bulan-bulan sebelumnya tiada siapa menjual ikan, sayur, ayam dan daging lembu di platform berkenaan.

Hasil daripada usaha tersebut menyebabkan ada peniaga yang menjual barang basah daripada nelayan dan petani meraih jualan sehingga RM100,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Walaupun sebahagian besar hasil jualan dalam talian itu bukan secara langsung daripada petani dan nelayan, namun kaedah tersebut telah memberi sinar kepada golongan berkenaan untuk meneruskan kerja masing-masing.

Siapa tahu dengan menggunakan kaedah dalam talian itu suatu hari nanti orang tengah yang didakwa mengambil kesempatan ke atas nelayan dan petani akan terhapus dengan sendirinya.