X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah rayuan kekal hukuman penjara doktor

Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang doktor atas pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM41.33 juta dan bersubahat memalsukan dokumen.

Dr Hamimah Idruss merupakan individu pertama di negara ini didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Dalam penghakimannya bertarikh 2 Mac, Hakim Mahkamah Rayuan P Ravinthran berkata, mahkamah tidak menemukan kesilapan yang boleh dirayu dalam penghakiman Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

"Kami mendapati sabitan terhadap semua pertuduhan adalah kukuh," katanya.

Ravinthran berkata, mahkamah bagaimanapun menggantikan penalti RM6,394,530.72 dengan RM6,350,000 yang perlu dibayar Dr Hamimah atau penjara satu tahun.

Pada awal Februari, panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Ravinthran menolak rayuan Dr Hamimah terhadap sabitan dan hukuman penjara.

Dr Hamimah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen pada 21 Mac 2012, atas 18 tuduhan, 10 daripadanya kerana bersubahat melakukan pemalsuan dengan tujuan menipu dan lapan tuduhan pengubahan wang haram.

Bagi lapan pertuduhan pengubahan wang haram itu, dia dijatuhi hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan manakala bagi 10 tuduhan bersubahat, hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman dijalankan serentak.

Dr Hamimah, bekas pengarah Safire Pharmaceuticals (M) Sdn Bhd, didakwa mengikut Seksyen 4 (1) AMLA kerana menerima hasil aktiviti haram sebanyak RM41.33 juta antara 3 dan 10 Jun 2003.

Dia turut menghadapi 10 tuduhan bersubahat dengan pekerjanya, Yusaini Wan Abi Sabian, 42, iaitu memalsukan surat perjanjian Safire Pharmaceuticals yang setiap satunya bernilai AS$1.2 juta (RM4.56 juta), mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 468 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Dr Hamimah gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen berkenaan.

Dalam penghakimannya, Ravinthran berkata, mahkamah berpendapat dengan jumlah wang yang terlibat dan tahap kesalahan pihak perayu (Dr Hamimah), hukuman yang dijatuhkan tidak dapat dianggap sebagai sesuatu yang berlebihan.

"Kami dapati hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen adalah munasabah dengan keadaan kes," katanya.

Hakim itu berkata, mahkamah mendapati tiada merit dalam hujah pembelaan bahawa pihak pendakwaan tidak memanggil saksi tertentu, termasuk saksi dari luar negara untuk membuktikan 'jejak wang' yang tepat melalui mana dana tersebut sampai ke Malaysia.

“Pegawai bank tempatan memberi keterangan bahawa dana tersebut akhirnya sampai ke Malaysia melalui Goodrich Overseas Group of Hong Kong ke dalam akaun bank di Malaysia yang dikendalikan oleh Hendry Toon dan perayu.

"Tambahan pula, pihak pendakwaan membuktikan bahawa wang yang dihantar ke Malaysia adalah hasil " aktiviti haram " dan bahawa perayu dengan sengaja menerima sebahagian besar dari hasil untuk menjelaskan hutang syarikat yang sebahagiannya dimilikinya," kata Ravinthran.

Dr Hamimah diwakili peguam Harvinderjit Singh manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar mewakili pendakwaan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus