X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat, wakil rakyat dan jualan murah

A
A

Meneliti senario politik terkini, perasaan rakyat bercampur antara marah dan kecewa. Ada kekaburan dalam memahami hubungan antara rakyat dan wakil rakyat.

Dalam demokrasi, wakil rakyat boleh datang daripada sebuah parti politik yang meletakkan seorang dipilih oleh parti untuk dicalonkan dalam pilihan raya.

Dalam hal ini, difahami bahawa jika dia menang maka dia mewakili rakyat kerana dipilih dengan majoriti undi di sesuatu kawasan pilihan raya. Akan tetapi dia juga mewakili parti kerana dia bertanding atas tiket sebuah parti. Maka perjanjiannya adalah kepada rakyat dan parti.

Lain pula jika dia bertanding atas status bebas dan jika dia menang maka dia mewakili rakyat di kawasan yang dia menangi tanpa terikat kepada mana-mana parti politik.

Pada asasnya seorang wakil rakyat pada hakikatnya mewakili rakyat. Parti adalah sekunder. Tetapi bila dia menang atas tiket sebuah parti maka kebertanggungjawabannya berkait juga dengan parti.

Ini sah kerana dalam demokrasi yang membenarkan parti politik ditubuhkan, jika jumlah kerusi yang dimenangi oleh sebuah parti adalah majoriti, maka ia boleh membentuk kerajaan. Bermakna mereka yang dilantik dalam kerajaan adalah dalam kalangan wakil rakyat daripada parti atau pakatan parti yang menang.

Di sinilah demokrasi sering dimanipulasi untuk merebut kerusi dan jawatan. Demokrasi juga sepatutnya dibatasi oleh kontrak dan ikatan amanah dan kebertanggungjawapan seorang wakil rakyat kepada rakyat.

Sewajarnya sentimen rakyat tidak boleh dipermainkan ketika berkempen dalam pilihan raya. Sepatutnya secara moral undi rakyat tidak boleh dijual beli dengan tawaran jawatan dan kesempatan untuk naik dalam karier politik.

Ketika rakyat dipengaruhi untuk mengundinya, seorang calon perlu sedar bahawa dia telah mengikat janji akan setia kepada kepercayaan rakyat. Walaupun mungkin rakyat mengundi berdasarkan parti politik bukan berasaskan calon, namun keterikatan wakil rakyat tetap akauntabilitinya kepada rakyat secara langsung, bukan hanya kepada parti.

Dewasa ini jelas wakil rakyat menjadi komoditi murahan. Ada musim jualan murah membeli wakil rakyat oleh parti politik yang memancing dengan umpan jawatan. Musim jualan murah wakil rakyat nampaknya menjadi kaedah persilatan politik ini.

Cerita lompat parti dan khianat parti lumrah dalam politik Malaysia. Bermula dengan berita angin kemudian menjadi realiti. Tidak cukup dengan itu, tanpa rasa bersalah mengheret gerombolan penyokongnya untuk turut serta dalam dakwaannya akan ramai lagi bakal mengisytihar keluar parti.

Semua ini dilakukan tanpa mengendahkan sedikit pun janjinya kepada rakyat. Maka dia sanggup melelong diri dengan harga tinggi untuk dibeli di pasar politik yang sangat murah.

Akan tetapi lantaran politik gaya ini menjadi sangat lumrah, tidak ada wakil rakyat berasa bersalah untuk berada dalam lembah politik kotor. Politik menjadi kotor kerana ahli politik yang kotor.

Kini gejala wakil rakyat menjual diri segar semula. Mereka yang sudah selesa memegang jawatan tinggi setelah tawar-menawar politik dimuktamadkan, persekitaran politik kotor mula dipenuhi sampah dan jualan ahli politik terpakai yang sebenarnya murah.

Pertelagahan menuntut jawatan dalam kerajaan walaupun dalam perikatan yang sama bergolak terus. Rasa tidak puas hati mengenai bagaimana ghanimah politik dibedak dan dibahagi-bahagikan tidak akan reda.

Dakwaan parti politik ini yang lebih menguasai kerusi dan parti politik itu yang berperanan menjadi king maker menjatuhkan lawan, akan saling bertelagah dan berkomplot. Sesudah lawan dijatuhkan dengan riuh-rendah di pasar raya jualan politik murahan, kini jualan sesama parti politik dalaman pula bermula.

Inilah kejelekan politik yang memualkan rakyat.

*Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus