X

Kindly register in order to view this article
!

MEF gesa majikan berhenti ambil PATI sebagai pekerja

Shamsuddin Bardan
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan menggesa semua majikan agar berhenti mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja dan pihak yang telah berbuat demikian menyerahkan mereka kepada kerajaan bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya mendakwa pekerja yang terdiri daripada PATI sebaliknya mengambil tindakan untuk menghantar mereka pulang ke negara asal masing-masing.

Ini kerana proses pendakwaan memerlukan masa yang lama manakala penempatan mereka di pusat tahanan akan membazirkan wang pembayar cukai.

“Penahanan seorang PATI di pusat tahanan menelan kos kira-kira RM70 sehari; cara yang lebih baik untuk kerajaan ialah melakukan proses ujian saringan bagi Covid-19 terhadap mereka dan jika keputusannya negatif, hantar sahaja mereka pulang ke negara asal,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Shamsuddin berkata, kerajaan juga perlu mempertingkat pemantauan ke atas pekerja asing haram kerana mereka tidak memiliki rekod perubatan dan tidak mendapat faedah perubatan.

"Pekerja asing yang sah memiliki insurans perubatan yang disediakan majikan masing-masing selain menikmati perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang akan menanggung kos perubatan jika pekerja itu jatuh sakit atau perlu dimasukkan ke hospital," katanya.

Berhubung isu tempat tinggal pekerja asing, beliau berkata, majikan tidak mampu untuk menambah baik keadaan hidup mereka sepanjang tempoh yang mencabar ini.

"Memaksa majikan mematuhi undang-undang berkaitan standard perumahan minimum pada masa ini boleh menyebabkan banyak pihak terpaksa menghentikan operasi mereka.

“Majikan (mempunyai kewajipan) untuk menyediakan keadaan hidup yang selamat dan sihat kepada semua pekerja asing yang sah namun sesetengah majikan pada masa ini berdepan kekangan kewangan yang teruk susulan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Menyentuh normal baharu, Shamsuddin mencadangkan agar kerajaan memulakan langkah menghalalkan pemotongan gaji sepanjang tempoh ini bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan meringankan beban majikan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus