Kawasan rekreasi Bukit Besar ditutup dua hari

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kawasan rekreasi Bukit Besar di sini ditutup kepada umum pada 29 dan 30 Mei bagi mengelak terlalu ramai pengunjung beriadah di lokasi terbabit.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, penutupan itu melibatkan laluan utama (jalan berturap) mahupun laluan denai (bahagian tepi bukit).

“Di Kuala Terengganu, salah satu tempat tumpuan aktiviti kecergasan adalah di Bukit Besar. Biasanya pada hujung minggu (Jumaat dan Sabtu), kawasan itu dipenuhi pengunjung yang melakukan aktiviti kecergasan dan beriadah.

“Daripada tinjauan selepas Ramadan dan sambutan Aidilfitri, kawasan ini semakin ramai dikunjungi walaupun dalam tempoh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan oleh itu ia akan ditutup pada 29 dan 30 Mei,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Che Adam A Rahman
Che Adam A Rahman

Menurutnya, keputusan itu seiring dengan tempoh PKPB sehingga 9 Jun depan sebagai langkah pengawalan wabak koronavirus (Covid-19).

Che Adam berkata, kolaborasi pihak berkuasa akan mengambil langkah sesuai bagi tujuan itu dan orang ramai diharap dapat mematuhi segala arahan yang dikeluarkan.

“Orang ramai disarankan mencari alternatif lain bagi melakukan aktiviti kecergasan dengan mengikuti SOP ditetapkan seperti aktiviti kecergasan secara terbuka, kumpulan kecil tidak lebih 10 orang dan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

“Mereka juga diminta tidak berkumpul di satu-satu kawasan selepas selesai aktiviti, tidak membawa warga emas dan kanak-kanak dan sentiasa menjaga kebersihan diri serta memakai topeng muka jika perlu,” katanya.