X

Kindly register in order to view this article
!

'Walau dah biasa, kali ini biarlah orang lain pandu van jenazah'

Anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak selepas penemuan mayat terakhir Khalif Naim Mohd, 16, di Sungai Terengganu, Kampung Kuala Telemong hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA BERANG - Biasanya saya yang bawa jenazah orang, tak sangka kali ini tiga jenazah anak serentak sampai di rumah...tak sanggup saya nak memandu van jenazah mereka ke tanah perkuburan, biarlah orang lain yang bawa, kata Mohd Ismail, 64.

Bapa kepada tiga beradik yang lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong itu berkata, beliau telah berkhidmat sebagai pemandu van jenazah sejak empat tahun lalu dan tidak pernah membayangkan untuk melalui dugaan berat kehilangan tiga anak lelaki sekali gus dalam sekelip mata.

"Namun saya reda kerana itulah ketentuan ALLAH. Syukur banyak-banyak kerana ALLAH permudahkan urusan sepanjang operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

"Insya-ALLAH, mati sebab lemas akan dikurniakan syahid kecil...ketiga-tiga mereka adalah anak harapan keluarga, ringan tulang dan hormatkan orang tua. Mungkin ada kebaikan yang mereka lakukan sehingga ALLAH permudahkan urusan mereka," katanya dalam nada sebak ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan pelbagai pihak yang turun padang menziarahi serta membantu melancarkan lagi urusan sehingga ke proses pengebumian jenazah yang dijangka dilakukan selepas Asar di Tanah Perkuburan Alor Limbat di Marang.

Mohd Ismail, 64, menunjukkan gambar bersama anaknya yang dikhuatiri lemas, Umar Iskandar, 21, Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim, 16, dirakam pada Aidilfitri baru-baru ini ketika ditemui di Kampung Kuala Telemong hari ini. - Foto Bernama
Mohd Ismail, 64, menunjukkan gambar bersama anaknya yang dikhuatiri lemas, Umar Iskandar, 21, Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim, 16, dirakam pada Aidilfitri baru-baru ini ketika ditemui di Kampung Kuala Telemong hari ini. - Foto Bernama

Sementara itu, pemergian Khalif Naim Mohd, 16, dianggap suatu kehilangan besar buat warga Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang, memandangkan Allahyarham adalah pelajar yang pintar dan berbudi pekerti.

Guru tasmik halaqah al-Quran sekolah tersebut Mohd Sidik Hassan berkata, Allahyarham adalah seorang pelajar yang sangat menghormati guru, disenangi rakan, dan mempunyai ingatan cerdas dalam hafazan al-Quran.

“Allahyarham baru sahaja tamat menghafaz 30 juzuk al-Quran pada 10 Mac lepas. Allahyarham memang pelajar yang bagus dan senang dibawa berbincang...bersama-samalah kita semua doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Khalif Naim bersama dua abangnya iaitu Umar Iskandar, 21 dan Khairil Firdaus, 17, dikatakan ke sungai itu yang terletak hanya 200 meter dari rumah mereka kira-kira jam 6 petang semalam.

Mayat ketiga beradik itu ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai yang mana mayat pertama, Umar Iskandar ditemui 100 meter dari lokasi kejadian pada jam 9.50 pagi.

Tiga beradik yang dikhuatiri lemas, Umar Iskandar, 21, (kanan), Khairil Firdaus, 17, (dua, kiri) dan Khalif Naim, 16, (kiri) bersama bapa mereka Mohd Ismail, 64, yang dirakam pada Aidilfitri baru-baru ini. - Foto Bernama
Tiga beradik yang dikhuatiri lemas, Umar Iskandar, 21, (kanan), Khairil Firdaus, 17, (dua, kiri) dan Khalif Naim, 16, (kiri) bersama bapa mereka Mohd Ismail, 64, yang dirakam pada Aidilfitri baru-baru ini. - Foto Bernama

Ia disusuli mayat kedua, Khairil Firdaus, pada jarak 150 meter pada jam 11.36 pagi dan mayat terakhir, Khalif Naim pula ditemui pada jam 12 tengah hari tadi dengan jarak 170 meter.

Khairil Firdaus ialah pelajar tingkatan lima Sekolah Agama Mahmudiah, Kuala Berang manakala Umar Iskandar adalah penuntut Universiti Malaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beradik dikhuatiri lemas di muara sungai Kuala Telemong

Tiga beradik lemas: Semua mayat sudah ditemui

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata, kes lemas tiga beradik itu adalah kes ke-13 yang berlaku di Terengganu sejak 1 Januari lepas.

“Kebanyakan kes lemas berlaku disebabkan mangsa tidak biasa dengan keadaan persekitaran di lokasi kejadian sama seperti tiga beradik ini mereka tidak biasa mandi di sini dan banyak kemungkinan yang berlaku (punca lemas), seperti pasir jerlus, lumpur dan sebagainya.

“Saya nasihatkan rakyat Terengganu agar sentiasa berhati-hati apabila pergi ke tempat peranginan seperti sungai dan pantai, peka dengan bahaya yang ada kerana kemalangan dan kecederaan boleh berlaku tanpa dijangka,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!