X

Kindly register in order to view this article
!

Mohd Khairul Adib, Chester Voo dilantik pengerusi, CEO CAAM

A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dilantik sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) manakala juruterbang berpengalaman, Chester Voo Chee Soon sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan itu berkuat kuasa Isnin ini (1 Julai).

Mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pelantikan Mohd Khairul Adib dibuat mengikut Seksyen 5(1) Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia 2017 manakala Chester Voo mengikut Seksyen 21 akta sama selepas disyor dan dipertimbangkan CAAM.

"Saya yakin mereka akan banyak membantu kerajaan meningkatkan kecekapan serta keselamatan penerbangan awam sehingga mencapai kelas dunia dalam industri penerbangan," katanya.

Ka Siong berkata, antara tugas utama mereka ialah melakukan usaha untuk mengembalikan status penarafan dunia Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) kepada Kategori 1 seperti pencapaian negara pada 2003.

Mohd Khairul Adib, yang berkecimpung dalam perkhidmatan awam lebih tiga dekad, sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.

Chester Voo pula pernah berkhidmat sebagai juruterbang di beberapa syarikat penerbangan dan menyandang jawatan pengarah operasi penerbangan di sebuah syarikat penerbangan domestik serta berpengalaman luas dalam kedua-dua sektor swasta dan penerbangan awam. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!