'Ibu, bangunlah ibu'

Video seorang kanak-kanak pekerja migran cuba mengejutkan ibunya yang telah meninggal dunia di India. - Foto Agensi
Video seorang kanak-kanak pekerja migran cuba mengejutkan ibunya yang telah meninggal dunia di India. - Foto Agensi
A
A
A

NEW DELHI - Rakaman video seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun cuba mengejutkan ibunya yang sudah tidak bernyawa di India meruntun jiwa netizen.

Video yang tular sejak semalam menunjukkan anak pekerja migran terbabit berusaha mengejutkan ibunya yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke kampung menaiki kereta api yang disediakan kerajaan.

Dalam rakaman itu, kanak-kanak terbabit kelihatan menyelak selimut yang menutup kepala ibunya berulang kali.

Selepas gagal mengejutkan ibunya, kanak-kanak terbabit bertindak menutup kepalanya dengan selimut sebelum berjalan tanpa arah tujuan.

Kejadian menyayat hati itu berlaku di Stesen Kereta Api Muzaffarpur di Bihar.

Mangsa dikenali sebagai Arbina Khatoon, 35, dan didakwa meninggal dunia akibat kekurangan makanan dan air ketika perjalanan kereta api dari Surat di Gujarat ke Purnea di Bihar serta tiba di stesen Mansi dalam daerah Khagaria pada jam 9.17 pagi (waktu tempatan).

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat polis dan pihak berkuasa Indian Railways serta pengakuan abang ipar mangsa, wanita terbabit meninggal dunia akibat serangan jantung.

Sementara itu, pegawai polis tempatan, Ramakant Upadhyay berkata, insiden terbabit berlaku pada 25 Mei lalu dan wanita malang itu melakukan perjalanan bersama adik perempuan dan abang iparnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, wanita terbabit meninggal dunia di dalam gerabak kereta api.

Sekurang-kurangnya sembilan pekerja migran yang dalam perjalanan pulang ke kampung dilaporkan menemui ajal dalam kereta api yang disediakan khusus untuk mereka pulang ke kampung selepas hilang pekerjaan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Kebanyakan mereka yang bekerja sebagai buruh kasar dengan gaji harian, terkandas tanpa kerja dan tiada wang untuk meneruskan kehidupan atau pulang ke kampung berikutan perintah berkurung yang ketat di India. - Agensi