Sarawak sedia bantuan khas untuk pesakit buah pinggang

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM4.6 juta di bawah Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang membabitkan sejumlah 100 pesakit baharu dari kalangan golongan B40 di negeri itu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bantuan khas itu melibatkan bantuan klinikal, pemindahan buah pinggang, pengangkutan dan 30 unit mesin hemodialisis.

"Bantuan klinikal merangkumi (pembayaran) pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF) secara ‘one-off’ sehingga RM3,000, suntikan Erythropoietin (EPO) sehingga RM240 sebulan dan rawatan hemodialisis maksimum RM200 untuk setiap pesakit bagi setiap sesi rawatan," katanya dalam sidang akhbar majlis penyampaian bantuan khas itu di sini hari ini.

Beliau berkata, bantuan pemindahan buah pinggang pula berjumlah RM5,000 bagi memberikan sokongan dari segi pengangkutan dan penginapan kepada pesakit dalam tempoh dua bulan menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, bantuan pengangkutan pula ialah sebanyak RM50 setiap kali pesakit menjalani rawatan manakala bantuan mesin hemodialisis ialah bagi menggantikan mesin uzur di pusat kesihatan yang terdapat di negeri itu.

Fatimah berkata, di bawah bantuan mesin hemodialisis, kementeriannya setakat ini sudah menyalurkan sebanyak RM240,000 kepada Kementerian Kesihatan untuk membeli enam mesin baharu bagi kegunaan di Sarawak selain menunggu kelulusan menyediakan mesin yang sama di beberapa klinik luar bandar seperti di Dalat, Debak, Song, Tatau dan Batu Niah.

Beliau berkata, pesakit buah pinggang golongan B40 di negeri itu yang merupakan rakyat Malaysia dari Sarawak, bukan penjawat awam ataupun pesara awam atau pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta tidak mendapat subsidi rawatan dan bantuan pengangkutan, layak memohon bantuan ini yang boleh dibuat di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri.

Katanya, rekod Jabatan Kesihatan Negeri pada 2018 menunjukkan terdapat sejumlah 3,317 pesakit buah pinggang di Sarawak dengan 2,920 orang menjalani rawatan hemodialisis. - Bernama

Artikel Berkaitan: