Mukhriz dakwa Kedah guna helah tuntutan untuk buka konsesi balak

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa kerajaan negeri pimpinan Pas menjadikan isu tuntutan ganti rugi lebih RM1 bilion oleh syarikat pembalak sebagai helah untuk meluluskan lebih banyak konsesi pembalakan di negeri itu.

Menurut beliau, ketika menerajui Kedah, tiada tuntutan ganti rugi sebanyak itu daripada syarikat pembalakan selepas konsesi mereka dibatalkan di Hutan Simpan Ulu Muda yang diwartakan sebagai kawasan tadahan air oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) pada Mac 2019.

“Saya ingin nyatakan tidak ada mana-mana pihak, baik secara berasingan mahupun secara bersama menuntut pampasan dari kerajaan Kedah sehingga mencecah RM1 bilion. Ini satu pembohongan yang mungkin bertujuan untuk menghalalkan keputusan untuk meluluskan konsesi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mukhriz berkata, semua kes-kes tertunggak melibatkan Hutan Simpan Ulu Muda dan Hutan Simpan Bukit Saiong telah diselesaikan melalui mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Hasil Bumi yang dipengerusikan beliau.

“Apa yang diumumkan kerajaan Pas sekarang bukan penyelesaian yang mereka capai sejak 10 hari menjadi kerajaan. Tanggungjawab menyelesaikan masalah ini telah diselesaikan dengan baik oleh kerajaan PH sebelum ini. Tidak perlulah mendabik dada seolah-olah masalah besar ditinggalkan PH itu perlu diselesaikan segera oleh mereka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional Kedah hanya perlu melaksanakan kesemua keputusan yang telah dibuat kerajaan PH sebelum ini.

“Selamatlah Kedah daripada ancaman kes mahkamah atau tuntutan pampasan jika rujuk kepada keputusan terdahulu. Jangan kelirukan rakyat dengan dakwaan bukan-bukan. Rakyat memerhati gerak langkah Menteri Besar dan Exco. ALLAH SWT sentiasa tahu apa terniat dalam hati anda semua. Silap langkah, terima padahnya,” katanya.

Mukhriz berkata, beliau mempengerusikan tiga mesyuarat berkenaan sejak dua bulan lalu dan menyelesaikan isu pembalakan tertunggak dengan persetujuan syarikat konsesi terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Isu ini diperincikan kepada syarikat konsesi yang telah ditawarkan kompartmen hutan untuk pembalakan melalui tiga Mesyuarat Jawatan Kuasa Hasil Bumi yang saya pengerusikan. Antara dipersetujui bagi syarikat yang diluluskan kawasan pembalakan tetapi belum membayar premium sepenuhnya, mereka akan diberikan tempoh menjelaskan bayaran tertunggak, jika gagal membayar kelulusan dibatalkan,” katanya.

Menurutnya, jika kompartmen pembalakan mereka terletak dalam kawasan tadahan air yang baharu dan telah membayar premium sepenuhnya, mereka diminta mengenalpasti kompartmen lain di luar kawasan tadahan air.

“Tiada konsesi baru akan dikeluarkan kerana kawasan pembalakan yang diluluskan sejak zaman kerajaan Pas lagi telah melebihi kuota ditentukan Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Mukhriz berkata, sejak diumumkan pemberhentian aktiviti pembalakan di Ulu Muda tiada syarikat mengugut untuk mengheret kerajaan ke mahkamah malah pihaknya sering berbincang dengan Persatuan Syarikat-syarikat Pembalakan Kedah untuk pandangan.

“Hasil daripada sesi perbincangan, hanya beberapa tuntutan bertulis diterima. Semua pihak beri kerjasama baik bagi mencapai kata sepakat dan memahami pendirian kerajaan negeri berhubung kelestarian hutan. Keputusan itu diterima baik semua syarikat konsesi kerana mereka memahami semua pihak perlu berkompromi bagi merealisasikan kepentingan bersama,” katanya.

Menurutnya, penyelesaian menang-menang dicapai berhubung konsesi pembalakan yang memanfaatkan kerajaan, rakyat dan pencinta alam sekitar yang mahu pembalakan di Ulu Muda dihentikan.

“Hutan Simpan Ulu Muda sangat penting untuk sumber air mentah yang menyumbang kepada pembekalan air Empangan Ulu Muda bersambung dengan Empangan Pedu. Kedua-dua empangan ini penting dalam menjamin bekalan air mencukupi bagi kegunaan domestik, pertanian dan industri, di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Malah khazanah alam flora di situ mempunyai biodiversiti tinggi,” katanya.

Mukhriz berkata, apa yang diumumkan kerajaan negeri Perikatan Nasional adalah hasil usaha kerajaan negeri PH terdahulu.

“Tidak ada masalah yang diselesaikan Menteri Besar baru itu dalam 10 hari,” katanya sinis.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri berdepan tuntutan ganti rugi RM1.5 bilion yang dituntut 40 syarikat pembalakan yang diberikan hak membalak di Hutan Simpan Ulu Muda, selepas konsesi mereka dibatalkan kerajaan PH.