Bicara rasuah bekas timbalan pengarah kanan DBKL September depan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah bekas timbalan pengarah kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bermula pada 1 September ini di Mahkamah Sesyen di sini.

Sabudin Mohd Salleh, 58, yang merupakan bekas timbalan pengarah kanan (awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar itu, menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM150,000 daripada pengarah Syarikat Tegap Elit Sdn Bhd Chia Chee Seng.

Hakim Azman Ahmad menetapkan tujuh hari bermula 1, 2, 3, 7, 8, 9, dan 10 September untuk perbicaraan semasa pengurusan kes itu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil sekurang-kurangnya 15 saksi pendakwaan.

Tertuduh diwakili peguam Aiman Abdul Rahman.

Pada 7 Januari lepas, Sabudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan secara rasuah menerima bagi dirinya wang tunai RM150,000 daripada Chia sebagai dorongan melakukan suatu perbuatan di bawah hal ehwal prinsipalnya iaitu memperakukan sijil bayaran kemajuan tuntutan yang dikemukakan oleh beberapa syarikat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana di sini antara 13 dan 19 Ogos 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: