Lima dikompaun rentas negeri, tiada surat kebenaran polis

Azari Miskon
Azari Miskon
A
A
A

KUANTAN - Polis Rompin mengeluarkan lima kompaun kepada individu yang cuba merentas negeri melalui sekatan jalan raya di Kilometer (KM) 120 Jalan Kuantan- Segamat (Perantau Damai) dan KM147 Jalan Kuantan- Seremban (Simpang Empat Melati).

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskon berkata, kesemua mereka tidak mempunyai alasan kukuh dan tiada sebarang surat kebenaran daripada polis ketika melalui sekatan yang dilakukan pada 24 hingga 26 Mei lalu.

"Mereka ini memberikan pelbagai alasan untuk merentas negeri seperti alasan kerja, menghantar barang dan pekerja serta menziarahi kawan di sekitar kawasan Muadzam Shah, Rompin, Pahang.

"Bagaimanapun, kesemua individu gagal mengemukakan surat kebenaran polis untuk merentas negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis menjalankan penguatkuasaan di kedua-dua lokasi itu selama 24 jam bagi memastikan tiada individu yang bertindak merentas negeri tanpa kebenaran sah.

Jelasnya, kompaun yang dikeluarkan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.6) 2020.

"Kesalahan ini memperuntukkan kompaun sebanyak RM1,000 dan perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari," katanya.

Dalam pada itu, Azari berkata, pihaknya akan menambah sekatan di setiap sempadan negeri bagi memastikan masyarakat patuhi perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi mememutuskan rangkaian wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat supaya berada di rumah dan tindakan tegas akan diambil jika gagal patuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.