Mohd Ali ambil watikah 3 Jun depan

Ali Rustam
Ali Rustam
A
A
A

MELAKA - Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Mohd Ali Rustam dijangka akan mengambil watikah sebagai Yang Dipertua Melaka yang baharu pada 3 Jun depan.

Pelantikan anak jati Melaka sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ketujuh itu akan melakar sejarah tersendiri sebagai anak Melaka pertama memegang amanah itu bagi menggantikan Yang Dipertua Negeri keenam, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, 82, yang akan menamatkan jawatan terpenting di negeri ini pada 4 Jun.

Sumber rapat yang dihubungi berkata, setakat ini, Mohd Ali dan seluruh keluarga sedang menjalani perintah kuarantin di rumah selama 14 hari sebelum istiadat mengangkat sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 5 Jun ini.

"Saya dimaklumkan satu nama sahaja yang ada iaitu nama Tan Sri dan sekarang beliau dalam tempoh kuarantin agar istiadat mengangkat sumpah bagi jawatan itu berjalan lancar.

"Dijangkakan pada 3 Jun ini, Tan Sri Mohd Ali akan ke Kuala Lumpur untuk mengambil watikah sebelum majlis angkat sumpah berlangsung 5 Jun ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Ali dilahirkan pada 24 Ogos tahun 1949 di Kampung Bukit Katil dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Katil dan SK Semabok.

Beliau mendirikan rumahtangga bersama Puan Sri Hajah Asmah Abd Rahman pada 1985 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Semalam, media melaporkan istiadat angkat sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka akan berlangsung di Balai Istiadat, Kompleks Seri Negeri Ayer Keroh pada 5 Jun.

Artikel Berkaitan:

Yang Dipertua Negeri Melaka kemudian akan mengangkat sumpah dan menandatangani Surat Cara Sumpah Jawatan sebelum menyampaikan ucapan.

Istiadat akan diteruskan dengan lafaz taat setia oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali diikuti bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.