Sokong gubal semula rang undang-undang bahan khayal

Syauqi
Syauqi
A
A
A

ALOR SETAR - AMK Alor Setar menyokong sepenuhnya cadangan kerajaan menggubal semula rang undang-undang bahan khayal bagi tujuan mencegah, merawat dan membolehkan pengawasan penagih atau pengguna bahan khayal.

Timbalan Ketua AMK Alor Setar, Syauqi Sahimi berkata, seperti sedia maklum, kebelakangan ini berlakunya kes yang melibatkan bahan terlarang, seperti dadah telah merosakkan rakyat Malaysia hingga ada yang sanggup membunuh hanya kerana berada dalam khayal.

Menurutnya, kes terbaharu yang berlaku Yan baru-baru ini, menggemparkan negara apabila nyawa dua anak kecil tidak bersalah menjadi mangsa pembunuhan kejam si penagih dadah.

"Pada pandangan saya, pihak kerajaan perlu memandang perkara ini dengan begitu serius dengan menjatuhkan hukuman lebih berat kepada sesiapa saja yang terlibat dadah, tidak kira sama ada penagih ataupun pengedar.

"Amat sedih apabila anak muda di negara kita telah banyak rosak kerana berpunca daripada dadah, yang mana bermula dadah ia membawa kepada kes jenayah, seperti kes curi, seks bebas, ragut, merogol dan ada yang sanggup membunuh," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN:RUU bahan khayal digubal tangani ketagihan gam]

Syauqi berharap pihak bertanggungjawab, seperti Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK) dan polis agar lebih tegas dalam hal ini, dan orang awam juga perlu memainkan peranan untuk sama-sama membantu pihak berkuasa membanteras dadah walaupun melibatkan saudara kita sendiri.

"Kami AMK Alor Setar bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membanteras dadah habis-habisan kerana ia adalah musuh utama rakyat Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) bersetuju cadangan rang undang-undang bahan khayal digubal semula.