Syed Saddiq minta universiti kurangkan yuran

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta supaya pihak universiti melaksanakan langkah pengurangan yuran bagi mengurangkan beban mahasiswa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, langkah itu perlu diambil selepas pengurusan universiti menghentikan operasi ekoran pelaksanaan Perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan warga universiti.

"Kelas dan kuliah tidak lagi berjalan tetapi yuran masih harus dibayar sama?" soalnya menerusi akaun Twitternya di sini semalam.

Menurutnya, terdapat ramai pelajar daripada keluarga B40 dan M40 berhadapan masalah sejak PKP dilaksanakan termasuk ibu bapa kehilangan kerja, ekonomi tidak menentu dan sebagainya.

"Mereka ini wajib diberi perhatian. Jangan tambah lagi beban daripada yuran pengajian mereka. Kita perlu fikirkan kebajikan pelajar," tegas beliau.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut berharap supaya jangan sampai ada mahasiswa terpaksa berhenti belajar semata-mata kerana terbeban dengan bayaran yuran tersebut.

"Masa hadapan mereka bukan perkara remeh. Kerajaan harus bantu mudahkan urusan mereka," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: