174 rumah ibadat bukan Islam boleh beroperasi mulai 10 Jun

Sebanyak 174 rumah ibadat bukan Islam diberi kelulusan beroperasi mulai 10 Jun ini. - Foto 123RF
Sebanyak 174 rumah ibadat bukan Islam diberi kelulusan beroperasi mulai 10 Jun ini. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 174 rumah ibadat bukan Islam diberi kelulusan beroperasi mulai 10 Jun ini dengan kehadiran maksimum 30 orang mengikut prosedur operasi standard (SOP) Ibadat Dalam Zon Hijau.

Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan berkata, kebenaran itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Permohonan yang diluluskan adalah mengikut ketetapan yang digariskan dalam SOP seperti bilangan kehadiran maksimum 30 orang serta tertakluk kepada saiz keluasan rumah ibadat.

"Kementerian juga ingin mengingatkan bahawa hanya rumah ibadat yang telah mendapat kelulusan mengikut hari dan masa beroperasi akan dibenarkan bermula pada 10 Jun 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pembukaan rumah ibadat yang lain perlu dipohon melalui badan agama masing-masing dan seterusnya dikemukakan kepada Kementerian Perpaduan Negara mengikut prosedur yang ditetapkan selepas 10 Jun 2020.

Katanya, permohonan yang diterima akan dibawa oleh pihak kementerian kepada Mesyuarat Khas Menteri-menteri untuk kelulusan dari masa ke masa.

Sementara itu, kenyataan sama turut memaklumkan, pelaksanaan urusniaga perkahwinan di kuil, gereja dan persatuan agama ditangguhkan sehingga 31 Julai 2020.

"Ia berdasarkan kepada surat Ketua Pengarah Pendaftaran Negara bertarikh 12 Mei 2020," katanya.

Artikel Berkaitan: