Padah lepak di Pantai Lido, lapan individu dikompaun

Seramai lapan individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tepi Pantai Lido. - Foto Polis Daerah Johor Bahru Selatan
Seramai lapan individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tepi Pantai Lido. - Foto Polis Daerah Johor Bahru Selatan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Padah berhimpun dan melepak di tempat awam, seramai lapan individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tepi Pantai Lido di sini, dua hari lepas.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Polis Daerah Johor Bahru Selatan, sekumpulan lelaki berkenaan ditemui sepasukan anggota polis yang ketika itu sedang melakukan pemantauan di sekitar kawasan berkenaan, pada jam 6.30 petang.

Mereka didapati turut meletakkan kenderaan masing-masing di bahu jalan, di tepi pantai berkenaan.

“Hasil soal siasat awal mendapati, kesemua mereka gagal memberi alasan yang munasabah semasa ditahan dan gagal mematuhi arahan PKPB.

“Mereka mengaku hanya bersiar-siar dan memberi alasan duduk lepak di tepi pantai tersebut mengambil angin,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, kesemua individu berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Selatan untuk dikompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

“Setelah selesai urusan kompaun, kesemua Orang Kena Kompaun (OKK) telah diarahkan pulang ke rumah masing-masing.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi SOP yang digariskan dalam PKPB,” kata pihak Polis Daerah Johor Bahru Selatan sambil menambah rondaan dan pemantauan juga akan dipertingkatkan iaitu di kawasan taman rekreasi dan lokasi tumpuan orang ramai bagi mengelakkan perhimpunan, sebagai usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: