PRK Dun Semenyih: MPKj tawar alternatif kepada penyewa dewan

Rawiyiah Zakaria
A
A

SEMENYIH - Beberapa penyewa yang membuat tempahan awal untuk menggunakan Dewan Serbaguna Seri Cempaka mengakui Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ada memberikan beberapa alternatif apabila ia dibatalkan.

Tempahan mereka terpaksa dibatalkan berikutan dewan berkenaan akan digunakan untuk PRK Dun Semenyih yang berlangsung 2 Mac ini.

Salah seorang penyewa yang juga Ahli Majlis MPKj, Rawiyiah Zakaria berkata, sebab pembatalan tempahan itu adalah satu perkara yang berada diluar jangkaan kedua-dua pihak iaitu MPKj dan juga penyewa.

“Saya adalah Ahli Majlis MPKj dan juga antara yang dibatalkan tempahan, tapi kita faham dewan ini kepunyaan MPKj dan perkara ini di luar perancangan kita. Kita perlu memahami perkara ini. Saya yang membuat tempahan awal juga sedikit kaget dengan pembatalan ini.

“Perkara yang di luar perancangan kita. Kerisauan itu tetap wujud tapi MPKj juga memaklumkan perkara ini kepada semua penyewa terlibat dan turut menawarkan beberapa dewan-dewan yang lain sebagai inisiatif atau solusi bersama,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi Baharuddin Abd Ghani, dia akan berjumpa dengan pihak MPKj dalam masa terdekat dan mendapatkan kata putus memandangkan tarikh penamaan calon dan pilihan raya baru diumumkan semalam.

“Ia (pembatalan) berlaku semalam, saya dapat panggilan pembatalan itu. Saya beranggapan mereka belum ada keputusan bila tarikh penamaan calon dan pilihan raya berlangsung, sebab itu mereka kosongkan tarikh dalam tempoh yang agak lama termasuk pada tarikh tempahan saya iaitu pada 23 Mac ini.

“Ketika mereka hubungi saya, mereka kata ada dua cara sama ada tukar tarikh sewaan atau pilih dewan yang lain. Atau pilihan ketiga pihak MPKj pulangkan kembali wang tempahan awal.

“Jadi sekarang bila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan umumkan tarikh penamaan calon dan pilihan raya, jadi Selasa ini saya mungkin akan jumpa balik dengan MPKj berbincang soal tarikh sebab tarikh tempahan saya itu sudah melepasi tarikh pilihan raya,” katanya.