10 rakyat Malaysia dilaporkan mati di AS akibat Covid-19

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Malaysia Amerika (MAA) melaporkan seramai 10 rakyat Malaysia yang tinggal di New York, Amerika Syarikat (AS) meninggal dunia akibat koronavirus (Covid-19).

Presidennya, Kim Bong berkata, dua daripadanya ialah ahli jawatankuasa persatuan tersebut antara 30 rakyat Malaysia yang dijangkiti virus itu.

"Seorang daripadanya adalah pemilik restoran, sementara yang lain dijangkiti di kereta api bawah tanah," katanya menerusi laporan akhbar The Star.

Beliau berkata, antara mangsa lain ialah pasangan Malaysia yang tinggal di Brooklyn.

"Kami mendapat panggilan memaklumkan kematian mereka minggu lalu," katanya.

Kim yang mengendalikan perusahaan perkapalan dan elektronik berkata, MAA membantu dengan mengatur perkhidmatan pengebumian untuk rakyat Malaysia tersebut.

"Masalahnya di New York adalah sangat sedikit orang yang mengambil langkah berjaga-jaga pada awal pandemik seperti memakai topeng muka," ujarnya.

Tambah beliau, MAA turut membantu dengan menyumbangkan topeng muka ke hospital dan juga menghantar makanan yang dimasak kepada kakitangan barisan hadapan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Bersama MAA, Jack Liaw yang menjalankan perniagaan perakaunan di wilayah Queens berkata, kematian rakyat Malaysia sangat menyedihkannya.

"Kerana perintah berkurung, kami tidak dapat menghadiri pengebumian mereka untuk memberi penghormatan terakhir.

"Sangat menyedihkan bahawa mereka kehilangan nyawa mereka di tanah asing yang jauh dari rumah," katanya.