X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli keluarga lima maut kemalangan pilu sambut lebaran

Md Dahari menunjukkan selipar terakhir Allahyarham Mohamad Taslim yang sempat dijahitnya kerana terputus.
A
A

SABAK BERNAM - Ahli keluarga lima individu yang maut dalam kemalangan pada 10 Januari lalu tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih menyambut lebaran kali ini tanpa insan tersayang.

Md Dahari Osman, 57, berkata, jika tahun sebelumnya sambutan Syawal meriah apabila semua ahli keluarganya berkumpul meraikan perayaan Aidilfitri.

"Tapi, semuanya berubah dalam sekelip mata selepas lima daripada mereka menemui ajal dalam kemalangan ngeri," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Parit 12 Sungai Nibong di sini baru-baru ini.

Menurutnya, luluh hatinya setiap kali mengenangkan gelagat arwah ibunya, Asiah setiap kali membuat persiapan Aidilfitri.

"Saya tak boleh bayangkan bagaimana kami menyambut Syawal ini tanpa mereka kerana terlalu banyak kenangan bersama yang tak mungkin saya lupakan. Saya masih mengingat pesanan Allahyarham Asiah supaya mengekalkan hubungan silaturahim dalam kalangan adik-beradik.

"Kami masih meneruskan apa yang dibuat sebelum ini walaupun keadaannya sudah berubah kerana ibu telah pergi meninggalkan kami buat selamanya," katanya.

Md Dahari berkata, dia juga sebak setiap kali mengenangkan Allahyarham Mohamad Taslim yang sempat memintanya menjahit seliparnya kerana talinya terputus.

"Selepas selipar itu dijahit, arwah minta saya simpan dan jadikan sebagai kenangan jika dia meninggal dunia dan tak sangka kata-katanya itu seolah petanda dia akan meninggalkan kami," katanya.

Menurutnya, dia juga mempunyai kenangan dengan Allahyarham Ruzi yang merupakan adiknya dan ibu kepada Allahyarham Mohamad Taslim.

"Setiap kali tibanya Syawal saya singgah ke rumah Ruzi untuk menjamah juadah selepas solat Aidilfitri. Hati saya sebak setiap kali melalui rumah arwah Ruzi kerana banyak kenangan yang tak dapat dilupakan," katanya.

Md Dahari berkata, tiga anak perempuan Allahyarham Ruzi sering menghubunginya dan memaklumkan mereka terlalu rindu pada ibu dan Mohamad Taslim.

"Saya tidak dapat menahan kesedihan apabila anak Ruzi memberitahu mereka terlalu rindu pada arwah ibu dan abang mereka yang terbabit dalam nahas.

"Ini semua atas ketentuan ALLAH, kita sebagai hamba hanya mampu berdoa yang baik untuk ahli keluarga agar mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.

Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam itu, Asiah Mat, 74, bersama anaknya, Ruzi Osman, 54; anak Ruzi, Mohamad Taslim Jamsari Mohamad, 31 dan isterinya, Ain Faizra Mohd Yazid, 25, serta anak mereka, Nur Tiara Arisha Mohamad Taslim, sembilan bulan meninggal dunia dalam kemalangan itu.

Kejadian di Kilometer 448, Lebuh Raya Utara Selatan, Sungai Buloh berlaku ketika kereta dipandu Mohamad Taslim berhenti kerana mengalami kerosakan sebelum dirempuh kenderaan utiliti sukan Mitsubishi ASX dipandu lelaki berusia 37 tahun dari arah belakang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!