Tiada ketupat ‘terbang’ ke Makkah tahun ini

Proses menghasilkan ketupat palas mengambil masa lama bergantung kepada jumlah tempahan yang diterima daripada pelanggan dan kebiasaannya dihasilkan ketika tempoh menghampiri 1 Syawal.
Proses menghasilkan ketupat palas mengambil masa lama bergantung kepada jumlah tempahan yang diterima daripada pelanggan dan kebiasaannya dihasilkan ketika tempoh menghampiri 1 Syawal.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketupat pulut daun palas sememangnya sinonim dengan masyarakat Melayu yang dijadikan antara juadah utama ketika sambutan Aidilfitri.

Seorang pengusaha ketupat di Kampung Kubang Palas, Banggu di sini, Rohimah Omar, 59, menghasilkan 10,000 ketupat pulut daun palas setiap kali menjelang musim perayaan itu.

Menurutnya, sebelum ini dia menerima tempahan pada awal Ramadan dan tempahan semakin meningkat saat menghampiri Syawal selain turut ditempah untuk dibawa ‘terbang’ ke Makkah, Arab Saudi.

“Setiap tahun saya menerima tempahan daripada penduduk tempatan dan ada di antara mereka yang menempah ketupat untuk dibawa ke Arab Saudi dan makan di sana sempena menyambut perayaan di negara itu.

“Setiap seorang pelanggan menempah 100 ketupat dan kemudian membawanya ke Makkah serta Madinah dengan menaiki kapal terbang,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Bagaimanapun Rohimah berkata, keadaan amat berbeza apabila seluruh dunia mengalami ancaman pandemik koronavirus (Covid-19) dan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan rakyat ke luar negara manakala Kerajaan Arab Saudi pula melaksanakan perintah berkurung 24 jam ketika cuti perayaan Aidilfitri di negara itu bermula 30 Ramadan sehingga 4 Syawal.

“Jadi, tidak ada ketupat ‘terbang’ ke Arab Saudi tahun ini, namun pelanggan masih ramai sehingga saya terpaksa hadkan 10,000 ketupat kerana prosesnya rumit selain saya yang hanya menggunakan kudrat manusia 100 peratus tanpa mesin.

“Baru-baru ini saya menerima tempahan 10,000 ketupat daripada seorang individu namun terpaksa menolaknya kerana memikirkan pelanggan lain yang turut membuat tempahan lebih awal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rohimah (kiri) turut dibantu jirannya Esah Mamat, 66, (kanan) untuk kerja-kerja membentuk kelongsong ketupat daripada daun palas yang diperolehi dari hutan semak di hujung Kampung Kubang Palas, Banggu, Kota Bharu.
Rohimah (kiri) turut dibantu jirannya Esah Mamat, 66, (kanan) untuk kerja-kerja membentuk kelongsong ketupat daripada daun palas yang diperolehi dari hutan semak di hujung Kampung Kubang Palas, Banggu, Kota Bharu.

Katanya, proses membuat 10,000 ketupat pulut daun palas memerlukan 250 kilogram (kg) beras pulut, 400kg santan dan 100kg gula.

“Antara yang rumit juga adalah proses untuk mendapatkan daun palas kerana perlu masuk jauh ke dalam hutan selain duri yang tajam pada daun dan boleh menyebabkan kesan calar pada tubuh serta anggota badan.

“Kemudian perlu pula menanak beras pulut diselang-seli dengan memasukkan santan. Pulut seterusnya dimasukkan ke dalam kelongsong ketupat dan dikukus sekali lagi sehingga masak,” katanya.

Menurutnya, terdapat empat jenis ketupat palas hasil tangannya iaitu manis, lemak, berinti kacang dan serunding daging.

“Setiap ketupat dijual dengan harga 70 sen sebiji kecuali ketupat serunding daging RM1 sebiji. Ketupat pulut yang belum dikukus dan diletakkan di dalam peti sejuk beku mampu bertahan sehingga enam bulan,” katanya.