X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Hantar pulang juga pekerja asing berdokumen selain PATI

Abdul Halim Mansor
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menghantar pulang semua pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pekerja asing berdokumen ke negara masing-masing bagi menjamin peluang pekerjaan melibatkan rakyat tempatan sepanjang tempoh pandemik koronavirus (Covid-19).

Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, MTUC bersetuju dengan langkah diumumkan kerajaan semalam, bagaimanapun tindakan penghantaran pulang pekerja asing berdokumen juga perlu diberikan perhatian.

Menurutnya, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) sebelum ini mengeluarkan kenyataan majikan-majikan di negara ini bakal mengalami pengurangan tenaga pekerja sebanyak 50 peratus, justeru keutamaan pengekalan tenaga pekerja perlu tertumpu ke arah pekerja tempatan.

"Berdasarkan Akta Pekerja 1955, jika berlaku sebarang pengurangan tenaga pekerja oleh pihak majikan, perkhidmatan pekerja asing yang harus ditamatkan terlebih dahulu dan majikan harus mendahului keperluan pengekalan tenaga kerja tempatan.

"Bagi membiayai kos penghantaran pulang pekerja asing berdokumen ke negara masing-masing, majikan harus menguruskan pakej pemulangan pekerja asing masing-masing kerana khidmat mereka sudah tidak lagi diperlukan pada saat ini.

"Sekiranya majikan ingin menyimpan pekerja asing untuk keperluan mereka, pekerja asing itu pula tidak boleh didiskriminasikan dan perlu menerima hak kebajikan pekerja yang sama dengan pekerja tempatan di bawah Akta Pekerja 1955," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Abdul Halim berkata, pihaknya menyedari terdapat trend membawa masuk pekerja asing secara beramai-ramai sebelum ini kerana majikan akan memberikan upah gaji lebih murah dengan hak kebajikan mereka akan terabai akibat tidak tertakluk di bawah Akta Pekerja 1955.

Menurutnya, langkah tidak mendiskriminasikan hak kebajikan pekerja asing juga dapat membantu kerajaan mengawal kemasukan pekerja asing ke negara ini di samping mengelakkan manipulasi tenaga asing oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Bagi kekosongan pekerjaan yang ditinggalkan pekerja asing yang akan dihantar pulang kelak, MTUC menyarankan kerajaan mendaftarkan semula tenaga tempatan untuk mengisi kekosongan itu, terutama pekerja-pekerja Malaysia yang diberhentikan kerja oleh majikan-majikan di Singapura sepanjang tempoh Covid-19.

"Bagi MTUC, langkah kerajaan menghantar pulang PATI dan pekerja asing ke negara masing-masing adalah tepat kerana tindakan itu bukan sahaja dapat menjamin peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, bahkan dapat mengawal penularan wabak Covid-19 daripada tidak terkawal," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!