Sila log masuk terlebih dahulu.

126 individu ingkar PKPB dikompaun

Mazlan Lazim
Mazlan Lazim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 126 individu ditahan polis dan dikompaun dalam operasi berasingan di sekitar ibu negara selepas dikesan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam tempoh dua hari sejak semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam operasi bermula jam 10 malam itu, polis menahan individu berusia 18 hingga 59 tahun di pusat beli-belah, pusat hiburan dan sebuah premis.

"Hasil pemeriksaan di dua buah restoran di pusat beli-belah di Cheras, seramai 74 warga tempatan termasuk 22 wanita dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan kompaun.

"Kita turut menahan seorang lelaki warga Nepal dan seorang wanita Vietnam kerana disyaki tiada dokumen perjalanan sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan di Sri Hartamas, seramai 10 individu termasuk empat wanita Thailand dan seorang lelaki warga India telah ditahan. Ujian saringan awal air kencing mendapati empat lelaki tempatan dan tiga wanita Thailand positif dadah jenis syabu.

Katanya, selain itu, 23 individu termasuk dua wanita turut ditahan di sebuah premis di Mont Kiara.

"Operasi seterusnya juga bertindak menyerbu sebuah premis di Taman Tun Dr Ismail. Polis telah mengeluarkan kompaun terhadap 19 individu termasuk enam lelaki Bangladesh kerana ingkar PKPB," katanya.

Menurutnya, kesemua individu yang ditahan telah dikompaun mengikut Peraturan 15 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (no 6) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 manakala bagi warga asing yang ditahan, disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen.

Artikel Berkaitan: