X

Kindly register in order to view this article
!

Syawal terindah buat saya sekeluarga

A
A

MESKI tidak boleh bergerak – dan hanya berkurung di rumah – gara-gara penguatkuasaan PKP, hari raya tahun ini paling menggembirakan saya.

Syawal ini saya mendapat satu lagi gelaran Datuk. Kali ini bukan daripada mana-mana istana, tetapi daripada kelahiran cucu pertama.

Benjamin Rumi Mohd Haikal lahir setelah tiga tahun perkahwinan anak saya dan menantu saya, Nadia.

Sebenarnya sejak doktor mengesahkan menantu saya hamil, gembira dan debaran sudah bermula, sama seperti ketika doktor memberitahu saya akan mendapat anak sulung lebih 30 tahun lalu, malah kelahiran cucu pertama lebih mendebarkan.

Apabila anak sulung saya lahir, saya berada di sisi ibunya sepanjang masa. Dr Suhaimi di Pusat Rawatan Islam membenarkan saya mengikuti proses kelahiran dari mula hingga akhir.

Tetapi kelahiran Ben di Pusat Perubatan Universiti Malaya, saya tidak dibenarkan menemankan ibunya. Usahkan saya, bapanya pun tidak dibenarkan berada di sisi.

Ketika itu PPUM dikawal ketat sebab sudah ada penularan wabak Covid-19. Betul-betul pada hari kelahiran Ben, PKP dikuatkuasakan.

Keluar dari hospital, cucu saya itu dibawa terus ke rumah Mak Toknya – besan saya – dan saya tidak berpeluang melihatnya sebab PKP.

Hanya pada pertengahan Ramadan baru Ben dibawa ke rumah saya setelah mendapat kebenaran pihak berkuasa. Dan pertama kali saya mencium pipi cucu yang montel itu, aduhai nikmatnya menjadi atuk!

Pagi Syawal, Ben genap dua bulan dan tentu sekali sebagai seorang atuk, saya syukur bukan kepalang kerana dapat memeluk dan mencium cucu dalam laungan takbir Aidilfitri. Isteri saya tidak kisah sangat ketupat dan rendang di dapur, asyik tertumpu mengulit Ben.

Meski baru dua bulan, bayi montel itu sudah pandai diagah. Pantang diagah senyumnya meleret, sambil tangannya mencakar muka saya, aduhai rasa hendak tercabut hati Tok Ki!

Dia dipakaikan baju Melayu siap bersampin. Songkoknya tiada saiz bayi, walaupun beberapa kali dibetulkan tetap menyerkup seluruh mukanya, menjadikan dia meronta-ronta. Tetapi itu yang menjadikan dia lebih comel dan melucukan.

Sepanjang hari raya pertama Ben menjadi tumpuan semua yang berkunjung ke rumah. Apa sahaja yang bayi itu buat menjadi perhatian. Jangankan dia senyum, dia menangis pun menjadi hiburan.

Baru dua bulan, hanya boleh tersenyum Ben sudah membawa keceriaan kepada saya, sudah berjaya mengalihkan perhatian saya daripada asyik ketupat dan masak lodeh yang sejak sekian lama menjadi santapan wajib saya pada setiap raya.

Mudah-mudahan saya sempat mendengar cucu sulung saya memanggil ‘Tok’. Tentu panggilan seperti itu – walaupun hanya sepatah dan ringkas – lebih merdu daripada suara emas Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Ada yang datang, ada yang pergi. Hari raya tahun ini juga saya kehilangan dua orang rakan wartawan. Seminggu sebelum raya, bapa saudara saya, Abdullah Hassan, mantan Pengarang Kanan Kumpulan Utusan meninggal dunia.

Pada Syawal ketiga, sahabat baik dan rakan wartawan saya, Datuk Ahmad A Talib pergi buat selamanya. Saya mula berkenalan dengan beliau ketika sama-sama menerima anugerah daripada Sultan Selangor lebih 20 tahun dulu.

Satu yang saya tidak boleh lupa ialah pada hari saya menerima Datukship daripada Yang di-Pertuan Agong kira-kira 10 tahun lalu, Ahmad berkata, “Sehebat-hebat gelaran Datuk tidak sama sedapnya dengan gelaran datuk bila dapat cucu....”

Tiada siapa dapat menafikan kata-kata itu!

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!