Nafi arah pengunjung pusat beli-belah jalani ujian saringan Covid-19

 Dr Aman Rabu
Dr Aman Rabu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan dakwaan mengarahkan pengunjung sebuah pusat membeli-belah di sini supaya menjalani saringan koronavirus (Covid-19), kata Pengarahnya, Dr Aman Rabu.

Sebaliknya, beliau berkata, JKNJ hanya mengarahkan pusat membeli-belah itu ditutup kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Tambahan pula, katanya tiada kes Covid-19 telah dikesan di premis terbabit.

“Pihak JKNJ tiada mengarahkan pengunjung pusat membeli-belah tersebut untuk membuat saringan Covid-19 seperti yang tular di media sosial.

“Oleh itu, orang ramai diminta tidak menyebarkan perkara yang tidak sahih kerana boleh mengakibatkan situasi panik dalam kalangan masyarakat,” kata beliau satu dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, penyebaran berita palsu seperti itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. - Bernama

Artikel Berkaitan: