'Trump, sila semak fakta!'

Twitter meletakkan pautan ‘semak fakta’ di bawah tweet Trump yang didakwa sebagai tuduhan tidak berasas. - Foto Agensi
Twitter meletakkan pautan ‘semak fakta’ di bawah tweet Trump yang didakwa sebagai tuduhan tidak berasas. - Foto Agensi
A
A
A

SAN FRANCISCO - Laman blog mikro, Twitter menjadi rangkaian media sosial pertama yang berani mengecam Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang aktif menggunakan platform tersebut untuk menyebarkan teori konspirasi, maklumat salah dan melemparkan kata-kata kesat yang dikongsi bersama 80 juta pengikutnya.

Twitter secara lantang melabel dua tweet dimuat naik beliau sebagai tuduhan tidak berasas malah ia meletakkan label ‘semak fakta’ pada ciapan tersebut.

Langkah itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan Trump hingga beliau mendakwa Twitter ‘campur tangan’ dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020.

“Twitter menyekat KEBEBASAN BERSUARA. Saya sebagai Presiden tidak akan membenarkan perkara ini berlaku,” katanya menerusi laman sosial itu.

Kelmarin, syarikat media sosial gergasi itu menyasarkan dua tweet yang menyatakan pengundian secara pos boleh menyebabkan penipuan dalam pilihan raya.

Syarikat media sosial berpusat di San Francisco itu bagaimanapun membalas dengan menyertakan pautan ‘dapatkan fakta tentang undi pos’ selepas Trump mencetuskan kekeliruan yang jelas melanggar dasar baharu Twitter yang diperluaskan.

“Matlamat kami adalah untuk memudahkan pengguna mencari maklumat yang boleh dipercayai di Twitter dan mengehadkan penyebaran kandungan berpotensi bahaya dan mengandungi maklumat yang salah,” kata Ketua Integriti, Yoel Roth dan Pengarah Dasar Awam Global, Nick Pickles ketika membuat pengumuman tentang perubahan itu. - AFP