Covid-19: Laksana segera pengasingan penempatan pekerja asing

Salah seorang pekerja asing menjalani ujian saringan Covid-19.
Salah seorang pekerja asing menjalani ujian saringan Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) mencadangkan kontraktor yang dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melaksanakan segera pengasingan penempatan pekerja asing bagi mengelakkan jangkitan koronavirus (Covid-19) terus berlaku.

Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, pihaknya memandang serius perkembangan terkini jangkitan Covid-19 membabitkan pekerja asing di beberapa tapak binaan.

"Berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam, tiga kluster sudah dikesan melibatkan kumpulan pekerja asing ini dengan kes jangkitan yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menular kepada 88 orang setakat semalam.

"Berdasarkan kajian awal, KKM mendapati faktor utama penularan jangkitan yang cepat disebabkan sebahagian besar pekerja asing ini kebanyakannya tinggal secara beramai-ramai dan bersesak-sesak di dalam satu kediaman atau penempatan yang dihuni mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kontraktor yang terlibat disarankan untuk menempatkan sebahagian pekerja-pekerja ini di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) yang disediakan Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Projek Mass Rapit Transit (MRT) supaya mereka tidak perlu bersesak menghuni di satu kediaman saja.

"CLQ CIDB ini bukan saja memiliki kemudahan dan fasiliti yang lengkap seperti kantin, kedai dan asrama, malah ia memudahkan kawalan pergerakan pekerja untuk tujuan saringan kesihatan jika ada di kalangan mereka dikesan memiliki gejala Covid-19.

"Namun, kos penginapan sementara ini mesti ditanggung kontraktor dengan CIDB boleh mengenakan caj yang minimum kepada mereka. Pada masa sama, kerajaan boleh memperbanyakkan lagi pembinaan penempatan seperti ini untuk keselamatan pekerja pada masa akan datang," katanya.

Jelasnya, memandangkan tempat yang terhad di CLQ, kontraktor juga boleh menyewa pusat latihan yang menyediakan kemudahan asrama serta fasiliti lengkap kepada pekerja untuk tempoh tertentu sepanjang PKPB sehinggalah penyebaran wabak terutama yang membabitkan pekerja asing ini dapat dikawal sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Sementara, di tapak pembinaan pula boleh dilaksana penempatan menerusi sistem 'zoning cabin type' yang akan memudahkan pemantauan. Penempatan ini mesti dihadkan hanya untuk enam orang pekerja.

"Semua kontraktor yang terbabit juga dinasihatkan meneruskan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan diri yang ketat kepada semua pekerja asing dengan melakukan ujian saringan Covid-19, pemeriksaan suhu badan serta penggunaan 'mask' dan sanitizer," katanya.