'Kalau pergi joging, pasar itu bukan kuarantin namanya'

KKM ingatkan mereka yang memakai ‘wristband PUI’ perlu menjalani kuarantin di rumah supaya kekal berada di kediaman masing-masing atau bakal berdepan tindakan undang-undang.
KKM ingatkan mereka yang memakai ‘wristband PUI’ perlu menjalani kuarantin di rumah supaya kekal berada di kediaman masing-masing atau bakal berdepan tindakan undang-undang.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan mereka yang memakai ‘wristband PUI’ perlu menjalani kuarantin di rumah supaya kekal berada di kediaman masing-masing atau bakal berdepan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka yang telah ditetapkan atau dikenal pasti untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah tidak dibenarkan keluar dari kediaman mereka.

“Jika mereka keluar dari rumah, pergi joging atau pergi pasar, itu bukan kuarantin dan kita nasihatkan mereka agar duduk di rumah.

“Apa yang kita akan laksanakan ketika ini adalah pemantauan sama ada mereka keluar dari rumah atau tidak.

“Kalau mereka keluar dari rumah bererti mereka telah ingkar dan tidak patuh terhadap peraturan atau perintah kuarantin, jadi tindakan boleh diambil terhadap mereka di bawah Akta 342,” katanya mengulas berhubung tindakan yang bakal diambil terhadap mereka yang ingkar terhadap arahan kuarantin selama 14 hari di rumah pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham memaklumkan KKM juga akan berbincang bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), PDRM dan badan bukan kerajaan (NGO) lain dalam memastikan pemantauan terhadap penjarakkan sosial di tempat awam.

Katanya, pemantauan bukan sahaja terletak kepada pihak berwajib tetapi masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam memastikan penjarakkan sosial sebagaimana disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

“Kerajaan telah memberi kelonggaran bersosial seperti bersenam dan apa yang penting, orang ramai perlu memastikan ada penjarakan sepanjang mereka melakukan aktiviti tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Jadi rakyat Malaysia perlu sedar dan berwaspada terhadap kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang telah diberikan kepada mereka termasuk aktiviti bersenam,” katanya.