Pengurusan di Depot Tahanan Imigresen berjalan seperti biasa

KKM sebelum ini mengesan satu lagi kluster baharu membabitkan warga asing di Depot Tahanan Imigresen di Semenyih, Selangor.
KKM sebelum ini mengesan satu lagi kluster baharu membabitkan warga asing di Depot Tahanan Imigresen di Semenyih, Selangor.
A
A
A

SEPANG - Tugas pegawai imigresen di tiga Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang yang sedang menjalani kuarantin di rumah telah diambil alih oleh pegawai dari ibu pejabat Jabatan Imigresen dan negeri berkaitan, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Menurutnya, walaupun ujian saringan mendapati mereka negatif koronavirus (Covid-19), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengarahkan pegawai terbabit menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.

"Seramai 238 pegawai terlibat (dikuarantin di rumah) jadi mereka tidak boleh datang bertugas. Bagi mengatasi masalah ini, saya telah mengaktifkan pelan kesinambungan perkhidmatan yang bertujuan memastikan pengurusan keselamatan dan kebajikan pegawai yang terlibat di tiga depot ini terjaga dan pengurusan harian tetap berjalan seperti biasa," katanya kepada Bernama.

ARTIKEL BERKAITAN: Punca jangkitan di Depoh Tahanan Imigresen masih disiasat

Covid-19: Kluster baharu di Depot Tahanan Imigresen Semenyih

Khairul Dzaimee berkata, susulan daripada pengaktifan pelan itu, pegawai dari ibu pejabat Jabatan Imigresen dan negeri berkaitan diarahkan bertugas dan mengambil alih pengurusan di ketiga-tiga depot berkenaan.

"Alhamdulillah, semua pegawai imigresen yang terlibat telah mengorbankan cuti raya mereka dan datang bertugas dalam masa 24 jam, jadi pengurusan terutamanya dari segi keselamatan di depot tahanan berjalan lancar seperti biasa," katanya.

Beliau berkata, di bawah pelan tersebut, Jabatan Imigresen akan mendapatkan bantuan agensi keselamatan lain sekiranya pegawai yang terlibat juga terpaksa dikuarantin.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan mendapatkan bantuan Anggota Ikatan Sukarelawan Rakyat (Rela), kalau Rela tak mencukupi kita akan minta pihak polis untuk datang membantu dari segi kawalan keselamatan," katanya.

Terdahulu, Khairul Dzaimee melakukan lawatan di Depot Tahanan Imigresen di Sepang, Bukit Jalil dan Semenyih bagi meninjau aspek keselamatan di setiap depot tahanan yang dijangkiti Covid-19.

Katanya, aspek kebajikan warga asing tetap diberi perhatian dengan memastikan mereka yang sakit segera diberi rawatan.

Selain itu, pihak pengurusan turut mengambil tindakan pengasingan blok bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19 di depot berkenaan.

KKM sebelum ini mengesan tiga kluster jangkitan Covid-19 melibatkan Depot Tahanan Imigresen di Sepang, Bukit Jalil dan Semenyih.

Sementara itu di Kuching, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Jabatan Imigresen akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) berhubung Covid-19 dipatuhi dalam mengawal 396 warga asing yang masih ditahan di depot tahanan di Sarawak.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 246 tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bekenu dekat Miri manakala 150 lagi di Depot Tahanan Imigresen Semuja di Serian.

“Daripada 396 tahanan tersebut, seramai 315 orang sudah sedia untuk tindakan penghantaran balik ke negara masing-masing dan 81 masih menunggu perbicaraan mahkamah. Jabatan Imigresen akan terus memantau SOP untuk menentukan semua tahanan selamat,” katanya.

Bercakap dalam sidang akhbar harian perkembangan Covid-19 di Sarawak hari ini, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak I berkata, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri telah mengeluarkan 286 notis amaran lisan kepada pemilik perniagaan kerana melanggar SOP yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Seramai 38 orang awam dikompaun kerana cuba merentas daerah tanpa permit polis menjadikan jumlahnya 86 orang dikompaun sejak 19 Mei lepas.

Katanya, Sarawak merekodkan tiga kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 552. - Bernama