Polis Melaka keluarkan 125 kompaun

Eng Lai ketika membuat pemeriksaan di SJR Sungai Rambai, di sini, hari ini.
Eng Lai ketika membuat pemeriksaan di SJR Sungai Rambai, di sini, hari ini.
A
A
A

JASIN - Polis Melaka telah mengeluarkan sebanyak 125 kompaun bermula hari raya pertama Aidilfitri sehingga hari raya ketiga terhadap individu yang cuba merentas negeri.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, daripada jumlah itu 57 kompaun terhadap individu yang cuba merentas negeri dalam tempoh yang sama bermula 24 Mei lalu.

Menurutnya, manakala 68 kompaun dikeluarkan atas kesalahan berhimpun dan kesalahan lain di bawah Peraturan 7(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.6) 2020.

Katanya, Melaka antara negeri yang merekodkan kompaun yang agak tinggi dalam cubaan merentas negeri sebelum ini kerana pihaknya perlu meneliti satu persatu kenderaan dan dokumen di mana kenderaan yang tiada permit polis serta merta akan diarah berpatah balik.

"Ada di antara mereka yang cuba merentas negeri dengan memberikan pelbagai alasan untuk merentas negeri agar tidak dikenakan sebarang kompaun.

"Oleh itu kita meletakkan Sekatan Jalan Raya (SJR) di kawasan atau jalan-jalan strategik yang pengguna akan melaluinya dan SJR ini akan beroperasi 24 jam," katanya selepas meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) Sungai Rambai, Melaka hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan.

Tambah Eng Lai, pihaknya membuat pemeriksaan terhadap setiap kenderaan yang melalui SJR dengan begitu teliti dan kerana itu jumlah kenderaan yang diarahkan berpatah balik agak tinggi berbanding negeri lain.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kebanyakan daripada mereka yang ingin merentas negeri sama ada menggunakan laluan tol atau laluan persekutuan, rata-rata daripada mereka yang ingin masuk ke dalam negeri lebih ramai diarah berpatah balik berbanding keluar negeri.

Katanya, kawalan di kesemua laluan tikus atau laluan strategik yang dikhuatiri akan digunakan untuk merentas negeri tanpa kebenaran turut dipertingkatkan.

"Kita akan periksa satu persatu kenderaan untuk melihat kesahihan dokumen yang dibawa adakah atas urusan-urusan kerja, perniagaan atau sebab lain sama ada kematian, rawatan kesihatan ataupun suami isteri yang nak melawat pasangan berjauhan," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Melaka mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi dengan 886 kes diikuti Perak dengan 362 kes dan Pulau Pinang sebanyak 284 kes.