Padah taksub beraya, kata netizen

Keratan Sinar Harian (Kanan: Komen netizen)
Keratan Sinar Harian (Kanan: Komen netizen)
A
A
A

SHAH ALAM - Netizen rata-ratanya bersetuju mengenai kompaun kepada rakyat Malaysia yang 'curi-curi' balik kampung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk pulang ke rumah masing-masing adalah sebagai pengajaran.

Netizen dikenali sebagai Nor Hisham misalnya berkata, rakyat yang pulang ke kampung perlu berfikir secara positif apabila kerajaan mengenakan tindakan kompaun terhadap mereka.

"Terima aje la kompaun tu, dapat seorang menteri yang baik dan cukup bagus, suka menasihatkan rakyat dan sayangkan rakyat...

"Sebelum Hari Raya dan selepas Raya pun beliau tetap menasihati rakyat tapi sayangnya ada yang tak mahu dengar nasihat," katanya.

Bagi Carmell Joe, kedegilan rakyat mahu pulang ke kampung semasa PKPB akhirnya mengundang padah setelah mereka dikenakan kompaun.

"Padah taksub beraya. Macam tak puas sudah berapa puluh tahun beraya. Kan sudah kena," katanya.

Afifi Zulkeple pula menasihatkan kepada mereka yang pulang ke kampung agar memilih pembayaran kompaun dari terus hilang pekerjaan.

"Apalah sangat kompaun tu kalau nak dibandingkan dengan hilang kerja. Berani buat berani tanggung la bro," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Haronothmon, berkata, tindakan pulang ke kampung adalah pilihan diri sendiri malah tiada paksaan dari kerajaan.

"Maka, jangan salahkan orang lain. Kalau tangan sanggup mencincang tentulah bahu sanggup memikul, " ujarnya.

Dalam pada itu, rata-rata netizen terus menyokong tindakan kerajaan mengenakan kompaun kepada mereka yang degil malah ada juga mengkritik mereka yang pentingkan diri sendiri pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.