Kes baharu positif Covid-19 kembali dua angka

Noor Hisham - Foto Bernama
Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kes baharu positif koronavirus (Covid-19) kembali dua angka apabila 15 kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini sebanyak 7,619 kes.

Sementara itu, 42 kes telah pulih dan dibenarkan discaj dengan keseluruhan kes pulih meningkat kepada 6,083 kes bersamaan 79.8 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 1,421 kes yang diasingkan dan diberi rawatan.

Menurutnya, lapan kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 115 kes iaitu 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Daripada 15 kes baharu yang dilaporkan, enam kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala sembilan kes lagi penularan tempatan termasuk empat kes bukan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang akhbar harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata, peningkatan jumlah kes Covid-19 yang dilihat beberapa hari lalu adalah disebabkan oleh pengesanan kes-kes Covid-19 di beberapa Depot Tahanan Imigresen (DTI) dan lain-lain kluster aktif yang melibatkan bukan warganegara Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, itu adalah susulan tindakan pendekatan tertumpu kerajaan dalam membendung penularan kes Covid-19 di negara ini.